Anwar bidas percubaan jahat terhadap anak Rafizi

Anwar bidas percubaan jahat terhadap anak Rafizi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hubungi menteri dalam negeri bagi memastikan siasatan telus dan segera.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendoakan kesejahteraan buat Rafizi Ramli serta keluarga susulan serangan terhadap anak bekas menteri ekonomi itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas percubaan jahat dan khianat terhadap anak bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli.

Katanya, beliau telah menghubungi Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution bagi memastikan siasatan telus dan segera.

“Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan.

“Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Saifuddin mengumumkan polis diarah menjalankan siasatan menyeluruh berhubung serangan terhadap anak Rafizi.

Beliau menegaskan siasatan akan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, ‘tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak’.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kejadian ini dan pihak polis telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan
membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan, dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Rafizi memaklumkan anaknya diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 1.45 tengah hari tadi.

Menurutnya, ketika anak dan isterinya hendak memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu, dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup seluruh muka mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.

“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal,” katanya.

Kanak-kanak itu dilaporkan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia untuk rawatan.

Rafizi berkata, sepanjang menjadi ahli politik berprofil awam, ini kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan.

Beliau juga percaya serangan itu merupakan amaran kepadanya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh terkejut dengan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan itu, menggesa pihak berkuasa ambil tindakan segera yang tegas.

“Saya ingin menegaskan bahawa kanak-kanak sama sekali tidak boleh dijadikan mangsa dalam apa jua keadaan.

“Tindakan sebegini adalah kejam, tidak berperikemanusiaan, dan mesti dikecam sekeras-kerasnya,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.