3 warga asing salah guna pas lawatan, mengemis di KLIA ditahan

3 warga asing salah guna pas lawatan, mengemis di KLIA ditahan

Dua lelaki warga Algeria dan warga Iraq itu ditahan dalam operasi pemantauan 'Ulat KLIA' Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia semalam.

Tiga lelaki warga asing yang ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan dengan menjalankan kegiatan mengemis di KLIA. (Gambar AKPS)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki warga asing ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan dengan menjalankan kegiatan mengemis di Balai Perlepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) semalam.

Menerusi kenyataan, Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), dua leaki warga Algeria dan seorang warga Iraq itu ditahan dalam operasi pemantauan ‘Ulat KLIA’ yang dijalankan agensi berkenaan dengan kerjasama Pasukan Keselamatan KLIA (AVSEC).

“Perbuatan mereka itu bukan saja melanggar syarat kemasukan ke Malaysia tetapi turut menjejaskan imej negara dan mengganggu keselesaan penumpang di lapangan terbang.

“Ketiga-tiga lelaki itu kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya, lapor Bernama

Dalam perkembangan lain, agensi itu memaklumkan berlaku peningkatan 26% kes Notis Penolakan Masuk (NTL) yang direkodkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA) dari Mei hingga Julai lepas.

Menurutnya, jumlah kes NTL itu telah meningkat daripada 900 pada Mei kepada 987 pada Jun, sehingga mencecah 1,134 kes pada Julai 2025.

“Pemantauan di pintu masuk negara akan terus diperketat terutamanya pada waktu awal pagi, bagi mengekang cubaan masuk daripada sektor penerbangan berisiko tinggi,” katanya.

AKPS memaklumkan seramai 40 warga Bangladesh telah diberi NTL ke Malaysia di KLIA1 berdasarkan maklumat awal dan trend kemasukan dalam satu operasi pemantauan semalam.

“Mereka merupakan sebahagian daripada 134 warganegara asing yang diperiksa sejurus mendarat menerusi dua penerbangan dari Dhaka antara 1 pagi hingga 6 pagi,” katanya.

Tambahnya, penolakan kemasukan itu dibuat selepas hasil semakan dokumen perjalanan, tujuan kemasukan dan tiket pulang mendapati niat kemasukan mereka mencurigakan serta tidak mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.

“Kesemua individu itu akan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.