
Panglima Tentera Darat Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan justeru meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu.
“Kejadian yang menimpa amat dikesali, walaupun berlaku dalam satu sesi latihan yang sememangnya dirancang sedemikian rupa,” katanya di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin hari ini, lapor Bernama.
Beliau juga berkata, latihan disertai penuntut Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM itu mematuhi SOP ditetapkan.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya sedang meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan latihan yang dilaksanakan termasuk membabitkan Palapes.
Katanya, SOP itu meliputi menambah baik aspek pemeriksaan kesihatan yang perlu dibuat secara lebih teliti sebelum latihan dimulakan.
“Hal ini berikutan latihan ini berisiko tinggi kerana membabitkan penggunaan peluru hidup sekali gus bertujuan menguji dan meningkatkan daya tahan, keyakinan serta keberanian anggota dan pegawai dilatih,” katanya.
“Latihan (Palapes) ini dilaksanakan kepada 112 peserta setiap satu sesi, lebih 20 pegawai dan jurulatih ditempatkan untuk mengawasi pelaksanaan eksesais itu, latihan itu juga tidak lama cuma mengambil masa kira-kira 15 minit.”
Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.
Anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai latihan Palapes UTM bermula 26 Julai lepas dan dijadualkan berakhir 3 Ogos.