
Ketua Polis Terengganu Khairi Khairuddin berkata rampasan itu hasil Op Sekatan Jalan Bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Terengganu di Sungai Ikan.
Ketika operasi, polis mendapati pemandu dua buah kereta, Mercedes-Benz dan Perodua Myvi, membuat pusingan U secara mengejut sebelum melarikan diri ke arah Kota Bharu.
“Selepas mengejar dalam jarak lima kilometer, polis menemukan kereta berkenaan di hadapan rumah penduduk kampung di Felda Belara.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh kotak polistirena yang mengandungi 188 bungkusan berisi dadah yang cukup untuk kegunaan 995,550 penagih,” katanya pada sidang media di IPK Terengganu.
Khairi berkata siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari Kelantan untuk diedarkan ke pasaran luar Terengganu termasuk di Lembah Klang.
Beliau berkata polis telah mengenal pasti pemilik kereta Perodua Myvi, namun masih mengesan dua suspek iaitu pemandu yang dipercayai warga tempatan.
“Polis belum dapat mengenal pasti pemilik kereta Mercedes-Benz kerana casis telah dirosakkan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Terengganu di talian 011-67351234.