Petronas mahu tingkat portfolio huluan di persada global

Petronas mahu tingkat portfolio huluan di persada global

Syarikat minyak dan gas negara mahu perluas hasil huluan antarabangsa kepada 60% menjelang dekad akan datang.

Jukris Abd Wahab
Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas Jukris Abdul Wahab berkata Malaysia kekal menjadi asas pelaburan teras syarikat.
KUALA LUMPUR:
Petronas berhasrat meningkatkan hasil operasi huluan antarabangsa daripada 40% kepada lebih 60% menjelang dekad akan datang, kata Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Jukris Abdul Wahab.

“Ini bukan bermakna kami akan mengurangkan pelaburan di Malaysia. Negara ini akan sentiasa menjadi asas pelaburan teras kami. Namun, kami mahu memiliki portfolio seimbang dan berdaya tahan bagi berdepan perubahan landskap tenaga global.

“Aspirasi kami adalah memperluaskan perniagaan antarabangsa daripada apa yang ada ketika ini,” katanya pada sesi taklimat bersama editor semalam.

Beliau berkata, pengembangan itu akan memberi tumpuan kepada pasaran ‘teras’ syarikat merangkumi Surinam, Turkmenistan, Abu Dhabi, dan Vietnam, selain sumber minyak dan gas bukan konvensional yang boleh ditingkat atau dikurangkan pengeluarannya dengan cepat.

Walaupun Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama, Jukris berkata jangkauan antarabangsa yang lebih meluas akan membantu syarikat menyesuaikan diri dengan pelbagai pasaran dan peraturan persekitaran.

“Kami masih melihat banyak potensi di Malaysia. Formasi geologi baharu sedang dibuka, dan kami menarik minat daripada pemain utama industri,” katanya.

Dalam taklimat itu, Jukris turut memaklumkan Petronas sedang meneroka lebih banyak projek gas asli cecair (LNG) di Kanada, di mana syarikat memiliki kira-kira 50 trilion kaki padu rizab gas. Ini susulan penghantaran pertama daripada usaha sama LNG Canada Fasa Satu pada Julai lalu.

Petronas juga sedang menilai semula portfolio huluan bagi memastikan aset memenuhi kriteria ditetapkan dari segi kos, pelepasan, dan nilai, katanya. Beliau berkata, pihaknya bersedia mengambil lebih banyak risiko yang terukur untuk mengurangkan kos.

“Penilaian portfolio adalah amalan biasa dalam industri ini. Matlamatnya adalah untuk memastikan aset kami kekal berdaya saing dan mampu memberikan nilai jangka panjang.

“Semakan portfolio adalah perkara biasa dalam industri ini. Matlamatnya adalah untuk memastikan aset kami kekal berdaya saing dan memberikan nilai jangka panjang.

“Kita tidak boleh mengharapkan risiko sifar dalam operasi kita. Kita perlu selesa mengambil sedikit risiko,” katanya.

Beliau berkata, beberapa standard teknikal digunakan selama ini datang dengan kos tambahan, dan syarikat sedang menimbang untuk menerima pakai standard ‘bersesuaian-tujuan’ tanpa berkompromi dalam soal keselamatan.

Namun, katanya kerjasama akan kekal penting untuk berkongsi keperluan modal dan akses kepada teknologi.

“Anda tidak boleh beroperasi bersendirian dalam industri ini. Nilai terbaik selalunya terhasil apabila rakan kongsi membawa falsafah operasi, teknologi, dan akses pasaran yang berbeza,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.