
Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, kesilapan tersebut berpunca daripada kekhilafan seorang pereka grafik sambilan yang tidak disengajakan.
“Apa-apapun saya tidak membela beliau walaupun (beliau) beri khidmat secara percuma. Kita serahkan kepada pihak berwajib untuk melakukan siasatan.
“Pemuda Umno Terengganu mengambil sikap tidak berkompromi dengan kesilapan ini,” katanya dalam video di Facebook.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa pihak berkuasa menyiasat ahlinya yang didakwa membuat kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang salah.
Akmal yang sebelum ini lantang mengecam pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan bendera itu secara terbalik meminta satu laporan polis dibuat dan tindakan tegas dikenakan terhadap individu bertanggungjawab dalam kontroversi itu.
Sebelum ini, media melaporkan Pemuda Umno Terengganu memuat naik grafik mengecam kesilapan Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik di Pulau Pinang, selain menuntut pembelaan terhadap kematian Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu di Sabah yang dikatakan menjadi mangsa buli.
Grafik itu memaparkan Jalur Gemilang dan gambar hitam putih Zara Qairina.
Bagaimanapun, Jalur Gemilang dalam grafik tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.
Kesilapan itu disedari pengguna media sosial dan grafik asal itu kemudiannya dipadamkan pada 12.55 tengah hari tadi sebelum digantikan dengan grafik baharu memaparkan bilangan jalur yang betul.