Hakim baharu akan dengar saman fitnah Dr M ke atas Anwar

Hakim baharu akan dengar saman fitnah Dr M ke atas Anwar

Pihak berkenaan akan hadir di hadapan hakim baharu pada 18 Ogos bagi pengurusan kes dan penetapan tarikh bicara.

mahathir mohamad anwar ibrahim
Dr Mahathir Mohamad kemuka saman terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim susulan kenyataan dibuat pada kongres parti itu pada 18 Mac 2023.
SHAH ALAM:
Hakim baharu akan dilantik membicarakan saman fitnah bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi, yang mewakili Anwar, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain, yang dijadual mempengerusikan prosiding pada minggu hadapan, telah memaklumkan pihak-pihak yang terlibat mengenai perkara itu.

“Beliau memberitahu kami bahawa seorang hakim baharu akan ditugaskan mengambil alih kes ini dan menetapkan tarikh perbicaraan,” kata Benjamin kepada pemberita selepas pengurusan kes semalam.

Sebelum ini, Zaharah telah menetapkan 18 hingga 20 Ogos sebagai tarikh perbicaraan.

Peguam Rafique Rashid Ali, yang mewakili Mahathir, mengesahkan bahawa pihak berkenaan akan hadir di hadapan hakim baharu pada 18 Ogos.

“Tarikh perbicaraan pada 19 dan 20 Ogos masih kekal dan belum dikosongkan,” katanya.

Zaharah merupakan hakim kedua ditugaskan mengendalikan kes itu, susulan penarikan diri Hakim Jamhirah Ali disebabkan ikatan kekeluargaan dengan seorang daripada peguam kes.

Mahathir mengemukakan saman terhadap Anwar berhubung kenyataan dibuat semasa kongres PKR pada 18 Mac 2023, yang didakwa merujuknya sebagai rasis dan mendakwa beliau memperkayakan keluarganya semasa memegang jawatan.

Mahathir turut menyatakan kenyataan Anwar dibuat atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan, oleh itu, ia mempunyai kesan yang jauh lebih buruk terhadapnya, berbanding kenyataan serupa dibuat rakyat biasa.

Beliau berkata, kenyataan tersebut bertujuan mencalarkan imej awamnya memandangkan ia telah ditonton dan didengar pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau juga berkata, dakwaan tersebut telah menghakis statusnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.

Mahathir turut menuntut Anwar menarik balik semua kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan menyiarkan penarikan balik itu di media arus perdana serta media sosial.

Beliau juga menuntut Anwar memohon maaf tanpa syarat serta tidak mengulangi kenyataan sama atau seumpamanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.