
Ketua Polis Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu bagi tempoh beberapa hari lepas mendapati, bendera Malaysia dipasang dengan betul dan tidak seperti yang dipaparkan dalam video tular berkenaan.
“Insiden pada 2024 itu berlaku ketika pemasangan bendera Malaysia yang baharu dibeli, namun kesilapan telah diperbetulkan selepas disedari, walau bagaimanapun video tersebut telah dikongsi semula pada tahun ini di media sosial oleh sebuah akaun TikTok,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus projek di syarikat berkenaan, yang menafikan dakwaan dalam hantaran media sosial itu, pada petang semalam.
Mohd Hafiz berkata isu pemasangan bendera Malaysia secara terbalik adalah perkara serius, kerana ia membabitkan simbol kedaulatan negara dan boleh dianggap sebagai tindakan tidak menghormati negara, sama ada secara sengaja atau tidak.
“Polis menasihatkan orang ramai agar menggunakan platform medai sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan yang berbaur fitnah,” katanya.
Terdahulu, video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok sejak dua hari lepas itu tular dengan memaparkan bendera Malaysia dipasang secara terbalik pada tiang bendera yang terletak dalam premis sebuah syarikat.