
Beliau yang juga menteri besar Terengganu mencadangkan pengenalan geran khas yang dananya boleh disalurkan terus kepada negeri bagi melaksanakan projek nasional atau keutamaan peringkat tempatan.
Menurutnya, kaedah itu dapat mengurangkan risiko ketirisan, kerenah birokrasi atau kelewatan kelulusan oleh agensi pusat.
“RMK13 seharusnya dijadikan peluang menambah nilai kuasa negeri atau melaksanakan reformasi pengurangan kuasa Persekutuan (decentralisation) dalam kadar tertentu.
“Ini penting supaya negeri dapat bergerak lebih pantas tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian,” katanya dalam perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat sambil menjelaskan perkara itu boleh direalisasikan dengan penggubalan akta baharu.
Menurut naib presiden PAS itu, kerangka pembahagian kuasa antara negeri dan Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal hampir 70 tahun mungkin tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.
Samsuri turut menggesa Putrajaya menyalurkan bayaran hasil petroleum kepada negeri dua kali setahun seperti diamalkan sebelum ini selain membatalkan kawalan tidak perlu dalam perbelanjaan hasil terbabit
Pada 5 Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis berkata sebanyak RM4 bilion ‘wang ehsan’ telah diagihkan kepada Terengganu manakala RM967 juta untuk Kelantan antara 2023 hingga 2025
Beliau yang juga menteri kewangan dipetik berkata dana itu untuk melaksanakan projek dan program memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Samsuri turut mencadangkan kerajaan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional Industri Unsur Nadir Bumi (REE) dengan fokus kepada pembangunan pemprosesan berteknologi tinggi, metalurgi unsur nadir bumi dan pemulihan tanpa sisa.
“Walaupun saya menyokong pembangunan industri REE, namun semakan terhadap perincian dalam RMK13 menunjukkan penekanan terhadap hak negeri masih kurang.
“Sedangkan REE terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut bimbang kerana negeri tidak dilibatkan dalam urusan berkaitan tuntutan perolehan REE oleh Amerika Syarikat, seperti dilaporkan media asing sebagai antara syarat perundingan tarif dengan kerajaan negara kuasa berkenaan.