
Ti berkata berbanding nafsu mencari kedudukan atau kerjaya politik, beliau lebih cenderung membawa keadilan serta menegakkan semangat undang-undang.
“Mungkin Puad sengaja bermain politik tetapi saya jenis berterus-terang dengan kesanggupan mengambil risiko politik walaupun terpaksa mengorbankan kerjaya politik peribadi saya.
“Itulah saya dapat bertahan dalam politik tanpa bertanding dalam mana-mana pilihan raya sejak tahun 2008 apabila saya dicantas dalam parti kerana penyokong saya bukan Umno atau MCA, tetapi mereka yang percaya pada politikus yang berterus-terang dan bersahaja seperti saya,” katanya di FB.
Tambahnya, mungkin Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu kurang faham dengan kenyataan beliau sebelum ini, yang mana ia suatu penentangan terhadap UmDAP dan bukannya terhadap Umno atau BN.
“Kalaulah UmDAP berjaya menjadi satu gabungan politik, ini adalah satu ‘signal’ bahawa DAP akan menggantikan MCA dan MIC di mana BN cuma akan menjadi cengkerang kosong.
“Ini juga akan bermakna berakhirlah BN apabila UmDAP menjadi pengganti BN. Mungkin Puad mahu lihat BN dikuburkan dan diganti dengan UmDAP?” katanya.
Terdahulu, Puad menyifatkan bekas pemimpin MCA itu sebagai batu api yang cuba mendesak MCA keluar daripada BN selepas berada dalam gabungan itu selama berdekad lamanya.
Adun Rengit itu mendakwa Ti mempunyai agenda peribadi berbuat demikian, khususnya untuk bertanding pada PRU16.
Ini selepas Ti berkata MCA mesti memutuskan sama ada ingin keluar atau kekal dalam BN memandangkan Umno dan DAP menjalin hubungan yang lebih erat.
Ti, ketua MCA Kuantan, berkhidmat sebagai Adun selama tiga penggal dari 1995 hingga 2008.
Beliau tidak bertanding pada PRU 2022 walaupun ditawarkan peluang di kerusi Parlimen Indera Mahkota, sambil berkata beliau sebaliknya lebih bersedia bertanding di kerusi Raub atau Kuantan.