PRN Sabah: Bung Moktar nafi canggah pendapat dengan Zahid

PRN Sabah: Bung Moktar nafi canggah pendapat dengan Zahid

Ketua Umno Sabah berkata, pendirian kedua-dua pihak berkaitan isu kerjasama PRN adalah seiring.

Pengerusi BN Zahid Hamidi dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin didakwa keluar kenyataan berbeza berhubung kerjasama pada PRN Sabah.
PETALING JAYA:
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menafikan beliau bercanggah pendapat dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi mengenai isu kerjasama pilihan raya di negeri itu.

Bung Moktar mendakwa Umno Sabah dan Pusat masih ‘senada’ dalam membuat sebarang keputusan berkaitan PRN.

“Pendirian kami seiring, gabungan (kerjasama) pun boleh berlaku selepas pilihan raya,” katanya kepada FMT.

Semalam, Zahid dilaporkan berkata, rundingan kerjasama dan agihan kerusi antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi PRN Sabah hampir selesai.

Bagaimanapun, Rabu lalu, Borneo Post melaporkan Bung Moktar berkata, Umno Sabah sedia bergerak solo pada PRN akan datang, selepas GRS mengumumkan kerjasama pilihan raya dengan PH.

Semalam, mesyuarat Majlis Tertinggi GRS dipengerusikan Hajiji Noor mengesahkan kerjasama dengan PH.

Namun, setiausaha agungnya, Masidi Manjun berkata, tiada perbincangan dengan parti lain menjelang PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, Umno dan BN negeri tidak ‘terganggu’, malah telah melakukan persiapan penuh untuk menghadapi PRN17.

“Kami telah melalui berbagai-bagai cabaran yang lebih besar dan kami mampu atasi. Umno-BN Sabah bersedia 100% untuk berdepan PRN Sabah kelak,” kata Bung, yang juga ketua BN Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.