Perangi ancaman dadah perlu pendekatan baharu, kata Zahid

Perangi ancaman dadah perlu pendekatan baharu, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan telah berbelanja lebih RM50 bilion untuk pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan, namun penyalahgunaan dadah tetap meningkat.

Zahid Hamidi berkata biarpun negara tidak mampu 100% bebas daripada penyalahgunaan dadah, tetapi tidak mustahil untuk dikurangkan ke tahap paling minimum. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pendekatan baharu yang tidak lagi berbentuk konvensional diperlukan bagi memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata perubahan strategi amat penting kerana trend penyalahgunaan dadah kini amat merisaukan berikutan peningkatan penggunaan dadah sintetik serta modus operandi pengedaran dadah melalui platform media sosial.

“Kerajaan telah berbelanja lebih RM50 bilion untuk melakukan pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan, namun kesannya penyalahgunaan dadah tetap meningkat.

“Kita harus mengakui kegagalan ini … ketepikan perbezaan antara kita untuk memastikan bahawa biarpun negara tidak boleh 100% bebas daripada penyalahgunaan dadah, tetapi tidak mustahil jika kita berjaya mengurangkannya ke tahap yang paling minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian perhimpunan agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) kali ke-46 di sini malam tadi.

Zahid berkata lebih merisaukan, laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati 68% daripada keseluruhan penyalah guna dadah merupakan pemuda berumur 19 hingga 39 tahun termasuk golongan profesional.

“Dari segi jangka panjang, situasi ini akan menurunkan produktiviti apatah lagi aset negara … tenaga kerja muda ini diperlukan bagi memberikan sumbangan dalam semua sektor di negara ini,” katanya.

Beliau menyarankan agensi penguatkuasaan berkaitan serta Pemadam supaya mengambil pendekatan meningkatkan komunikasi dua hala dengan golongan sasar bagi mengurangkan gejala terbabit.

“Bukan sekadar memberi syarahan, tetapi juga menjadi pendengar yang memahami. Bukan hanya mendidik, tetapi turut menyelami emosi anak muda.

“Kita tidak hanya boleh bergantung pada pendekatan lama melalui ceramah dan pengedaran risalah, tetapi kita mesti menggunakan pendekatan komunikasi melalui teknologi digital,” katanya.

Zahid turut mencadangkan Pemadam untuk mewujudkan pasukan komunikasi digital di setiap negeri, memperkasakan modul latihan dan advokasi untuk sukarelawan.

Selain itu, beliau mengutarakan pandangan bahawa sebuah portal maklumat bersepadu dan aplikasi pintar perlu dibangunkan selain pemerkasaan kerjasama strategik dengan pempengaruh dan komuniti media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.