Mahkamah Rayuan tangguh keputusan saman Indira Gandhi terhadap bekas KPN, kerajaan

Mahkamah Rayuan tangguh keputusan saman Indira Gandhi terhadap bekas KPN, kerajaan

Mahkamah memerlukan masa untuk meneliti hujahan peguam Indira Gandhi dan Jabatan Peguam Negara, yang mewakili polis dan kerajaan.

indira
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman Indira Ghandi selepas memutuskan bahawa polis membuat usaha yang serius dalam siasatan dan menjalankan tugas sebaik mungkin untuk mengesan bekas suami serta anak perempuannya.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan M Indira Gandhi dalam saman beliau terhadap bekas ketua polis negara, Abdul Hamid Bador dan kerajaan atas dakwaan kegagalan untuk menangkap bekas suami dan mengembalikan anak perempuannya diculik lelaki itu pada 2008.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Zaini Mazlan berkata mahkamah memerlukan masa untuk meneliti hujahan daripada peguam Indira dan Jabatan Peguam Negara, yang mewakili polis dan kerajaan.

Mahkamah menetapkan 25 Ogos untuk pengurusan kes.

Terdahulu, peguam Indira, Rajesh Nagarajan berhujah bahawa polis gagal menguatkuasakan waran komital mengikut undang-undang.

Beliau berkata polis tidak memfailkan sebarang afidavit untuk memaklumkan mahkamah tentang usaha mereka mengesan K Pathmanathan yang telah memeluk Islam dan menukar nama kepada Riduan Abdullah.

“Hanya pada 2020, selepas kami (peguam semasa) mengambil alih, barulah kami menulis kepada mahkamah untuk meminta maklumat terkini,” katanya.

Hakim Radzi Abdul Hamid, yang juga sebahagian daripada panel bersama Hakim Faizah Jamaludin, mempersoalkan sama ada Indira mempunyai locus standi untuk memfailkan saman, kerana penghinaan mahkamah adalah perkara pentadbiran di antara mahkamah dan Riduan.

Beliau berkata mahkamah bersimpati dengan Indira, tetapi prosiding itu mungkin tidak akan mengembalikan anak perempuannya, Prasana Diksa.

“Menghina mahkamah adalah disebabkan tindakan beliau (Riduan) (kerana tidak menyerahkan Prasana),” kata Radzi.

Rajesh menegaskan bahawa bahawa Indira mempunyai hak tidak langsung berkaitan dengan keberadaan Prasana, yang mewajarkan dakwaan beliau.

Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb pula berhujah Riduan berada dalam senarai orang dikehendaki polis dan akan ditangkap jika ditemui.

Ezdiani berkata Mahkamah Tinggi hanya mengarahkan pihak polis untuk memfailkan afidavit perkembangan kes selepas peguam itu mengambil alih kes pada 2020.

Beliau berhujah bahawa pihak polis tidak mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap Indira, selain daripada melaksanakan perintah komital.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman Indira, memutuskan bahawa polis membuat usaha yang serius dalam menyiasat kes tersebut dan menjalankan tugas siasatan dengan sebaik mungkin.

Mahkamah juga menyatakan bahawa siasatan untuk mengesan Riduan masih berterusan.

Dalam saman yang difailkan pada 2020, Indira Gandhi, 49, mendakwa bahawa bekas ketua polis negara dengan sengaja dan secara cuai tidak mematuhi perintah mandamus dikeluarkan Mahkamah Persekutuan dengan gagal menyiasat atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan Prasana yang kini berusia 17 tahun.

Indira mendakwa defendan mempunyai peranan penting dalam membuat keputusan atau mengarahkan polis untuk melaksanakan waran penahanan terhadap Riduan, seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Ibu kepada tiga anak itu berhujah tingkah laku defendan menyebabkan perpisahan dengan anak bongsunya berterusan sehingga hari ini dan juga menyebabkan Riduan melarikan diri.

Indira menuntut RM100 juta dalam bentuk ganti rugi am, teruk, dan teladan, serta pengisytiharan bahawa Hamid telah melakukan ketakpatuhan dalam pejabat awam.

Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan bertanggungjawab secara tidak langsung atas ketidakpatuhan yang dilakukan oleh polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.