Aktivis bidas cadangan kereta kabel Gurney Bay yang tak dirancang, membazir

Aktivis bidas cadangan kereta kabel Gurney Bay yang tak dirancang, membazir

Pengkritik berkata cadangan laluan kereta kabel ke Taman Botani Pulau Pinang akan menjejaskan kawasan kejiranan dan ekosistem, sambil mengabaikan keperluan pengangkutan utama.

PENANG HILL BERNAMA
Kajian kebolehlaksanaan dibuat untuk mengkaji laluan disambungkan kepada projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai RM367.2 juta, dari Taman Botani dan puncak bukit. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Aktivis dan bekas jurutera pengangkutan negeri mengkritik cadangan membina laluan kereta kabel sepanjang 2.5km dari Taman Botani ke Gurney Bay, yang didakwa tidak dirancang dan membazir.

Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman berkata laluan itu bukan satu bentuk pengangkutan awam, sebaliknya hanya gimik pelancongan.

“Apa keperluannya? Ini bukan percuma, jadi berapa kos ekonominya? Siapa membiayai (kajian ini)? Cadangan ini diumumkan tanpa sebarang rundingan.

“Daripada membazir wang pada gimik pelancongan seperti ini, lebih baik tumpukan kepada membangunkan sistem pengangkutan awam lebih baik seperti teksi air dan bentuk pengangkutan air lain untuk mengurangkan kenderaan di jalan raya,” katanya kepada FMT.

Bekas jurutera pengangkutan utama kerajaan Pulau Pinang, Lim Thean Heng pula berkata rancangan itu kelihatan datang daripada pengendali kereta kabel, bukan kerajaan negeri.

“Ia bukan untuk pengangkutan awam, ia projek pelancongan.

“Pengurusan trafik, parkir dan ekologi — semua ini perlu diambil kira. Pelan induk Gurney Bay pun tidak pernah merangkumi stesen kereta kabel,” katanya.

Aktivis Rebecca Duckett pula berkata projek itu akan merosakkan biosfera sensitif yang diiktiraf UNESCO, sambil menambah kereta api funikular Bukit Bendera sudah memadai menampung pelawat.

“Terlalu ramai pengunjung akan merosakkan kelestarian alam semula jadi di Bukit Bendera,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kawasan kejiranan berhampiran Taman Botani perlu ‘diceroboh’ untuk laluan kereta kabel ke Gurney Bay, yang menurutnya ‘bukan destinasi wajib dikunjungi.

“Akhirnya, adakah ia hanya akan digunakan untuk melihat pembangunan baharu di kawasan tambakan Gurney Drive, di mana penduduk tempatan sudah terputus hubungan dengan laut akibat projek mewah yang hanya mampu dimiliki golongan kaya?” katanya.

Laluan itu akan bersambung dengan projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai RM367.2 juta, yang kini sedang dibina antara Taman Botani dan puncak bukit.

Laluan utama sejauh 2.73km dari Taman Botani ke puncak bukit akan mempunyai 50 gondola lapan tempat duduk, mampu membawa sehingga 1,400 orang dalam sejam bagi setiap arah.

Namun, kapasiti maksimum Bukit Bendera dihadkan kepada 6,463 pelawat pada satu-satu masa.

Perancang projek berkata laluan itu, yang dijangka siap awal 2027, akan mengurangkan tekanan ke atas perkhidmatan kereta api funikular serta meningkatkan akses ke rizab biosfera yang diiktiraf UNESCO.

Rabu lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata satu kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan untuk laluan kereta kabel Gurney Bay, untuk mengagihkan aliran pelawat sambil menyokong ‘pelancongan mampan dan perancangan yang lebih baik’.

Projek kereta kabel Bukit Bendera dibangunkan Hartasuma Ropeways Sdn Bhd bersama firma Austria, Doppelmayr yang dibiayai pinjaman Bank Pembangunan Malaysia Bhd.

Hartasuma berkata kos projek meningkat daripada RM245 juta kepada RM367.2 juta disebabkan kenaikan kos pasca pandemik dan penambahan kemudahan seperti parkir, medan selera dan kawasan sukan.

Kerajaan negeri memberi jaminan kebimbangan terhadap pelancongan berlebihan akan diatasi, dengan jumlah pelawat dikawal supaya kekal dalam kapasiti dibenarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.