Pemberhentian tak adil, bekas jurulatih Perak FC dapat pampasan RM1 juta

Pemberhentian tak adil, bekas jurulatih Perak FC dapat pampasan RM1 juta

Mahkamah Perusahaan menyatakan pihak pengurusan pada satu ketika telah mencetuskan ‘kuasa pemain’ bagi memaksa penamatan khidmat Lim Teong Kim.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan anugerah RM1.04 juta kepada bekas pemain bola sepak negara, Lim Teong Kim, selepas beliau diberhentikan secara tidak adil sebagai ketua jurulatih Perak FC dua tahun lalu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Perusahaan memerintahkan Perak FC Sdn Bhd membayar pampasan RM1.04 juta kepada bekas ketua jurulatih, Lim Teong Kim, sebagai ganti rugi atas pemberhentian kerja secara tidak adil.

Pengerusi Mahkamah D Paramalingam, berkata jumlah tersebut dikira berdasarkan baki 16 bulan daripada kontrak tetap dua tahun Lim, yang telah ditamatkan lebih awal pada 24 Mei 2023, iaitu selepas lapan bulan beliau berkhidmat.

Lim, 61, selaku pihak penuntut, akan menerima RM1,040,000, berdasarkan gaji bulanan dipersetujui RM65,000.

“Tiada perintah pengembalian jawatan boleh dibuat dalam keadaan ini kerana kontrak itu telah luput tempoh,” kata Paramalingam dalam keputusan 60 halaman dikeluarkan minggu ini.

Beliau berkata, keputusan Perak FC menamatkan kontrak Lim di pertengahan musim atas alasan prestasi pasukan kurang memberangsangkan adalah tidak matang, tidak berasas, dan didorong pertimbangan komersial.

Paramalingam turut mendapati, kedudukan kewangan syarikat telah terjejas oleh ‘kemerosotan prestasi’ Perak FC sebelum pelantikan Lim.

“Ketika pihak syarikat melantik Lim, mereka sedia maklum satu tugas panjang dan sukar untuk mengembalikan kegemilangan kepada bola sepak Perak. Mereka memecatnya sebelum beliau sempat menghasilkan keputusan sepenuhnya,” katanya.

Paramalingam berkata, pihak pengurusan ‘mencari-cari kesalahan’ pada usaha Lim untuk menerapkan disiplin dalam kalangan pemainnya.

Beliau juga memutuskan dakwaan salah laku dikenakan terhadap Lim tidak cukup serius bagi mewajarkan penamatan perkhidmatan.

“Satu amaran terakhir telah diberikan dan Lim diarah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada media,” katanya, sambil menyatakan pihak penuntut sudah mematuhi arahan tersebut.

“Namun, pihak syarikat mengungkit semula isu sama yang dibangkitkan sebagai alasan untuk menamatkan perkhidmatannya.”

Surat penamatan perkhidmatan hanya menyatakan prestasi pasukan yang tidak memuaskan sebagai alasan pemecatan.

“”Ini adalah sesuatu yang sama sekali berbeza dan tidak berkaitan dengan dakwaan awal syarikat mengenai salah laku penuntut di hadapan pihak media dan penyokong.”

Paramalingam berkata, tindakan syarikat mengungkit semula dakwaan salah laku adalah sama seperti mengenakan hukuman berganda.

“Tindakan pihak syarikat yang mengenakan hukuman berganda harus dibatalkan kerana ia tidak adil dan tidak wajar,” katanya.

Paramalingam turut menyatakan, syarikat telah membuat tuntutan tidak realistik terhadap penuntut walaupun telah memperuntukkan bajet terhad untuk fasa pembinaan semula pasukan.

Ketegangan memuncak apabila beberapa ahli pengurusan pasukan mengatur pemberontakan pemain dengan mengumpul aduan secara rahsia terhadap Lim di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 11 April 2023.

“Sebahagian ahli pasukan pengurusan telah mendapatkan senarai aduan daripada pemain dengan bertujuan memperoleh maklum balas negatif terhadap Lim,” menurut keputusan itu, sambil menambah tindakan tersebut dilakukan bagi memaksa pihak penuntut meninggalkan Perak FC.

“Itulah tindakan dipilih pihak syarikat apabila mereka tidak lagi dapat menemui sebarang kesalahan terhadap Lim selepas beliau mematuhi amaran terakhir diberikan,” katanya.

Lim, 61, bekas pemain bola sepak profesional, membuat 60 penampilan bersama skuad kebangsaan antara 1982 hingga 1996.

Beliau berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan, termasuk tempoh perkhidmatan yang panjang bersama Bayern Munich dari 2000 hingga 2012.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara dan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan bawah 16 tahun (B16).

Lim diwakili peguam Edward Andrew Saw dan Jerry Low, manakala Weera Premananda bertindak bagi pihak Perak FC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.