Pemaju ganggu tanya persetujuan bangun semula kawasan, adu penduduk

Pemaju ganggu tanya persetujuan bangun semula kawasan, adu penduduk

Penduduk flat Kuchai Entrepreneurs Park dakwa pemaju lawat waktu malam, tawar wang sebelum URA lulus.

Kuchai Entrepreneurs Park
Penduduk flat Kuchai Entrepreneurs Park berkata, pemaju hubungi mereka secara langsung, melanggar Akta Pengurusan Strata 2013.
KUALA LUMPUR:
Penduduk flat Kuchai Entrepreneurs Park menggesa kerajaan campur tangan dan menghentikan tindakan pemaju yang dikatakan mengganggu, mendesak agar kawasan itu dibangunkan semula di bawah cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Nasrun Ismail, seorang ahli jawatankuasa bertindak penduduk mendakwa, pemaju tersebut memintas perbadanan pengurusan flat dan menghubungi penduduk secara langsung untuk mendapatkan persetujuan tanpa penjelasan yang wajar, suatu tindakan yang melanggar Akta Pengurusan Strata 2013.

“Mereka hantar surat kepada kami dan tanya sama ada kami setuju atau tidak. Kemudian, mereka tetapkan satu tarikh untuk kami beri maklum balas,” katanya kepada pemberita selepas satu taklimat awam di flat tersebut hari ini.

FMT tidak mendedahkan nama pemaju berkenaan sementara menunggu maklum balas.

Nasrun mendakwa, segelintir penduduk ditawarkan RM100 atau RM200 untuk menyokong pembangunan semula itu, yang disifatkannya sebagai suatu bentuk rasuah. Katanya, pihak pemaju turut melawat pada waktu malam, menimbulkan kebimbangan penduduk.

“Kami akan minta perbadanan pengurusan ambil sebarang tindakan yang perlu, termasuk buat laporan polis dan dapatkan perintah mahkamah, kerana pemaju telah langgar Akta Pengurusan Strata,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan agar mengutamakan pemulihan berbanding pembangunan semula, terutamanya bagi perumahan kos rendah dan warisan. Menurutnya, peralihan kepada kehidupan kondominium akan menyebabkan penduduk terpaksa menanggung yuran penyelenggaraan dan dana terikat lebih tinggi, selain kos-kos tersembunyi yang lain.

URA yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu bermatlamat menurunkan ambang persetujuan pemilik strata kepada 80% bagi bangunan yang berusia kurang 30 tahun, 75% bagi bangunan lebih 30 tahun, dan 51% bagi hartanah terbiar.

Rang undang-undang itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan ini.

Flat Kuchai Entrepreneurs Park terdiri daripada lima blok yang menampung 480 unit kediaman dan 20 unit kedai. Tempoh pajakan flat tersebut dijadualkan tamat pada 2081.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.