
Tawfik Yaakub dan Ariff Aizuddin Azlan senada, langkah menurunkan had umur antara 35 hingga 40 kepada 30 tahun dalam sayap parti politik mampu membuka ruang lebih luas kepada kelompok berkenaan untuk bergiat lebih aktif dalam proses mematangkan landskap politik negara.

“Isu melibatkan had umur belia ini bukanlah eksperimen politik tetapi perlu disahut oleh semua parti bagi memastikan golongan ini mendapat ruang, tempat dan peluang seadilnya ketika masih menggalas usia belia,” kata Tawfik dari Universiti Malaya.
Beliau juga berpandangan, had umur bagi sayap Pemuda mahupun Puteri perlu diseragamkan tanpa membezakan gender dan peranan.
Katanya, belia hari ini tanpa mengira jantina berupaya memikul tanggungjawab berikutan minda kelompok berkenaan yang matang lebih awal susulan ledakan teknologi maklumat dan kemahiran berfikir di luar kotak.
“Justeru, meletakkan had umur yang sama bagi Pemuda dan Puteri merupakan tindakan mengiktiraf kemampuan mereka yang luar biasa pada hari ini,” katanya kepada FMT.

Ariff dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga berpendapat, keseragaman had umur belia akan membawa kepada tahap konsistensi yang baik, tertakluk kepada fungsi dan kapasiti peranan politik yang ditetapkan.
“Persoalan seperti kekurangan pengalaman itu akan tetap berlegar dan tidak dapat dielakkan tetapi jika mereka tidak diberikan peluang langsung untuk mencuba, ia akan membuatkan belia tidak minat serta akan menjauhkan diri dari politik.
“Hasilnya negara akan kehilangan idea yang bernas (dalam usaha menyuburkan sistem demokrasi),” katanya.
Namun, Tawfik tidak menolak had maksimum umur belia yang rendah dalam parti politik boleh membawa kepada risiko kemampuan mereka untuk menyelesaikan krisis yang timbul.
“Justeru, mereka perlu bersedia mengetengahkan model, pelan dan agenda penyelesaian masalah di luar kebiasaan khususnya dalam konteks ekonomi, sosial dan politik,” katanya.
Had umur bagi sayap Pemuda dan Puteri Umno ditetapkan antara 18 hingga 40 tahun, manakala Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Armada Bersatu 18 hingga 35 tahun.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini akan berkuat kuasa 1 Jan tahun depan selaras pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).
Had umur belia sekarang ialah 40 tahun.
Beliau berkata, pindaan itu antara lain melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua atau pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun, dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.