Orang Asli maut leher tertusuk sabit

Orang Asli maut leher tertusuk sabit

Polis berkata bilah sabit tertusuk leher mangsa selepas mangsa dan bapanya terjatuh daripada motosikal dinaiki mereka akibat terlanggar busut.

Ketua Polis Temerloh Mazlan Hassan berkata bapa mangsa dalam keadaan trauma dan tidak dapat mengingati kejadian itu sepenuhnya, dipercayai akibat gegaran otak ringan selepas terjatuh daripada motosikal. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki Orang Asli maut akibat leher tertusuk sabit dibawa bapanya di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Penderas, Temerloh.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi Sabtu itu, Haniff Abu, 29, ditemui sepupunya yang kebetulan melalui kawasan ladang terbabit.

Ketua Polis Temerloh, Mazlan Hassan, berkata mangsa sedang menunggang motosikal Honda Wave bersama bapanya di belakang yang memikul sebilah sabit bergalah panjang di bahu untuk ke kebun sawit mereka.

Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan selepas terlanggar busut menyebabkan dua beranak itu terjatuh dan bilah sabit tertusuk leher mangsa.

Beliau berkata, bapa mangsa turut cedera di pipi dan telinga kanan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Bapanya pula dalam keadaan trauma dan tidak dapat mengingati kejadian itu sepenuhnya, dipercayai akibat gegaran otak ringan,” katanya sambil menambah ketika pasukan polis tiba, mayat mangsa sudah ditutup dengan kain oleh penduduk kampung.

Mazlan berkata, sabit itu masih terikat pada galah pengait pelepah sawit dan bilahnya yang dibalut dengan kain guni didapati koyak.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.