
Beliau berkata, dakwaan Shafie itu bagi menunjukkan pentadbirannya cekap menguruskan kewangan kerajaan sedangkan fakta adalah sebaliknya.
Masidi yang juga setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah berkata, bon persekutuan itu dikeluarkan pada Disember 2014 di bawah kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, antara syarat ditetapkan bank pusat untuk penerbitan bon itu ialah kerajaan negeri perlu menyediakan dana penjelas khas bagi memastikan pembayaran balik hutang sepenuhnya apabila bon matang.
“Ini langkah perlindungan bagi mengelakkan pembayaran balik menjadi beban kewangan besar kepada kewangan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, syarat untuk bon itu ialah kerajaan negeri perlu memasukkan RM200 juta ke dana penjelas setiap tahun selama lima tahun sehingga 2019.
Ketika Warisan berkuasa pada 2018, Masidi berkata, sebahagian besar dana yang diperlukan untuk pembayaran balik hutang itu sudah ada.
Pada tahun berikutnya, RM1 bilion sudah berada dalam dana penjelas, yang membolehkan kerajaan negeri membuat bayaran penuh bagi menyelesaikan hutang bon itu.
“Jadi, tidak tepat untuk mencadangkan pembayaran balik ini hasil daripada sebarang tindakan khas kerajaan Warisan.
“Pembayaran itu hasil perancangan kewangan berhemat pentadbiran terdahulu sebelum bon itu matang.”
Semalam, Shafie mempertahankan janjinya untuk menghapuskan pinjaman pelajar tertunggak untuk rakyat Sabah, jika partinya membentuk kerajaan selepas PRN akan datang.
Menjawab dakwaan NGO belia bahawa janji itu retorik semata-mata, bekas ketua menteri Sabah itu berkata, janjinya bukan gimik politik dan boleh dilaksanakan dari segi kewangan.
“Pada 2019, saya membayar RM1 bilion hutang yang ditinggalkan BN,” katanya merujuk kerajaan negeri pimpinannya menyelesaikan bon kerajaan persekutuan.
“Kalau saya boleh bayar hutang BN, kenapa kita tak boleh bayar hutang pelajar kita?” katanya.