
Menurut SKMM, individu tersebut dipanggil untuk memberi keterangan di IPD Cheras semalam.
Sebuah telefon bimbit dan satu unit kad SIM turut disita bagi membantu siasatan.
“Kandungan tersebut dipercayai mengandungi maklumat palsu dan bersifat 3R (kaum, agama dan institusi diraja) dan dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam, selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa,” kata SKMM dalam kenyataan, lapor Bernama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, SKMM mengingatkan orang ramai agar memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan dan berhati-hati dengan sebarang kandungan berbentuk spekulasi.
Katanya, penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika, selain boleh mengganggu proses keadilan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Semalam, kubur pelajar Tingkatan Satu itu digali semula berikutan arahan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat siasatan lanjut perlu dijalankan utuk merangkumi semua aspek.