
Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor, berkata simpanan KWSP sepatutnya digunakan untuk hari tua, bukan bertujuan membayar rawatan hospital swasta.
“Falsafah pembentukan KWSP adalah untuk simpanan hari tua. Jangan jadikan KWSP sebagai ‘bukit emas’ yang boleh ditarah setiap hari.
“Cadangan pengeluaran KWSP bagi membiayai premium insurans kesihatan adalah satu bentuk salah urus dana dan pengkhianatan terhadap kepercayaan pekerja,” katanya kepada FMT.
Sehubungan itu, Kamarul Baharin berkata, MTUC cadang perbincangan diadakan antara kerajaan dan pihaknya bagi menangani isu kos insurans kesihatan yang semakin meningkat.
Katanya, kerajaan sepatutnya menaik taraf perkhidmatan hospital awam supaya lebih selesa dan mampu memenuhi keperluan rakyat, termasuk 16 juta ahli KWSP yang turut menyumbang kepada kutipan cukai.
“Jangan buat keputusan tanpa keterlibatan wakil pekerja.
“Keperluan pekerja mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta bukanlah satu keutamaan kerana hospital awam telah disediakan bagi tujuan tersebut. Kerajaan perlu menaik taraf perkhidmatan hospital awam demi keperluan 16 juta pekerja,” katanya.
Pada 19 Jun lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan sedang mempertimbang memberi pilihan kepada rakyat menggunakan Akaun Sejahtera (Akaun 2) KWSP bagi membiayai premium insurans kesihatan. Jika dilaksana, ia akan memberi peluang kepada 16 juta pencarum mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Susulan pengumuman itu, pakar ekonomi mencadangkan agar penggunaan Akaun Fleksibel (Akaun 3) KWSP dipertimbangkan bagi membiayai premium bulanan insurans kesihatan, dan bukannya Akaun 2 seperti dicadangkan itu, selaras peranan asal akaun berkenaan.
Afzanizam Abdul Rashid dari Bank Muamalat menjelaskan, Akaun 2 disediakan untuk ‘keperluan kitaran hayat’ seperti perumahan, kesihatan, dan pendidikan, manakala Akaun 3 bertujuan memenuhi keperluan peribadi.