Tiada permohonan rasmi ambil jururawat Indonesia, kata menteri

Tiada permohonan rasmi ambil jururawat Indonesia, kata menteri

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad ambil maklum reaksi Cuepacs dan NGO, namun hakikatnya kementerian tidak ada perbincangan rasmi ke arah itu.

jururawat nurse
Dzulkefly Ahmad ambil maklum cadangan pengambilan jururawat dari republik itu seperti disuarakan pihak Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada perbincangan atau permohonan rasmi dibuat Indonesia dengan kerajaan berkaitan cadangan pengambilan jururawat dari republik itu berkhidmat di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya mengambil maklum perkembangan dizahirkan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto itu.

Katanya, pihaknya sedar reaksi disuarakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

“Kami juga sedar pelbagai pihak seperti Cuepacs, NGO, dan Persatuan Jururawat Malaya timbulkan pelbagai perkara mengenai isu ini, tetapi hakikatnya tidak ada perbincangan rasmi dan KKM tidak menerima sebarang permohonan rasmi,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Sihat Milik Semua Tahun 2025 Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Dewan 2020, di Kangar.

Pada 5 Ogos, Sigit memetik laporan Bernama menzahirkan diadakan kerjasama strategik dengan hospital Malaysia bagi jururawat Indonesia berkhidmat di negara ini, sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja sektor perubatan.

Katanya, langkah itu merupakan situasi menang-menang memandangkan ketika ini kira-kira 70% pesakit antarabangsa di Malaysia berasal dari Indonesia.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata pihaknya sedang meneliti perkembangan lantikan jururawat masyarakat lulusan program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) yang masih menunggu lantikan tetap untuk mengisi kekosongan.

“Ya, kita sedang membuat ‘mapping’ supaya mereka tidak keluar dari lokaliti asal mereka, jadi kita akan membuat penempatan mengikut penempatan mereka sedia ada.

“Kita menganggarkan lebih 1,800 jururawat masyarakat lulusan PSL di negara ini dan kita sedang mengusahakan penempatan jururawat ini dalam masa terdekat dan ia sedang diselesaikan sekarang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.