Segera adakan inkues kematian Zara Qairina, kata pemimpin PN

Segera adakan inkues kematian Zara Qairina, kata pemimpin PN

Pengerusi PN Sabah Ronald Kiandee berkata kematian Zara Qairina ujian besar terhadap nilai keadilan, integriti dan kejujuran institusi terlibat dalam siasatan.

kiandee
Pengerusi PN Sabah Ronald Kiandee berkata arahan bedah siasat ke atas jenazah Zara Qairina permulaan penting bagi menepis dakwaan dan persepsi terhadap kelemahan serta kepincangan dalam siasatan awal.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional Sabah, Ronald Kiandee berkata prosiding inkues yang diminta keluarga Zara Qairina Mahathir perlu diadakan segera susulan siasatan ke atas kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Ahli Parlimen Beluran itu menyifatkan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pihak berkuasa menggali semula kubur bagi menjalani bedah siasat ke atas jenazah Zara Qairina sebagai permulaan penting menepis dakwaan dan persepsi pelbagai pihak terhadap kelemahan serta kepincangan dalam siasatan awal.

Beliau berkata, perhimpunan ‘Justice for Zara’ semalam membuktikan solidariti dan kebangkitan rakyat dalam menuntut keadilan buat mangsa serta keluarganya.

“Tragedi yang menimpa Zara Qairina bukan sekadar tragedi sebuah keluarga – ia adalah ujian besar terhadap nilai keadilan, integriti dan kejujuran institusi yang terlibat dalam siasatan, termasuk Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar dilaporkan berkata, kubur Zara Qairina akan digali segera untuk prosedur bedah siasat ke atas jenazahnya.

Kumar berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula ke AGC dalam tempoh terdekat.

Peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu Zara Qairina pula berkata, permohonan menggali semula kubur Zara Qairina akan dibuat di IPD Papar hari ini.

Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri dalam longkang asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.