
Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan johan kategori qari selepas meraih markah 97.01% mengatasi peserta Indonesia Ahmad Azroi Hasibuan (95.13%) serta wakil Turki Muhammed Yahya Yildizhan (93.88%), yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori qariah, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mengharumkan nama negara apabila mencatat markah 95.88% bagi mengatasi peserta Maghribi Fatima Zahra Assafar (89.38%), dan wakil Indonesia Nur Rahmiyatin Adhya (87.59%).
Hadiah kepada pemenang disampaikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada majlis penutup yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Turut hadir Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, dan Imam Masjid Nabawi, Madinah Sheikh Salah Muhammad Al-Budair.
Bagi kategori hafazan lelaki, Usamah Barghouth dari Jerman muncul juara dengan markah 98.25% diikuti Mohammad Abdullah Masasati dari Syria (98.01%), dan tempat ketiga Mohammad Jamil Farhat dari India (97.25%).
Peserta Syria Tasneem Arian Omar pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 97.5% diikuti Putri Auni Khadijah dari Malaysia di tempat kedua (96.75%), dan ketiga ialah Najway Ali Zaydan Alkourbu dari Libya (95.51%).
Johan bagi kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Bertemakan ‘Membangun Ummah Madani’, MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.