Peniaga pasang Jalur Gemilang terbalik mohon maaf

Peniaga pasang Jalur Gemilang terbalik mohon maaf

Pang Chin Tian menjelaskan dia menurunkan semula bendera itu selepas menyedari dipasang terbalik.

jalur gemilang terbalik screengrab 9825
Gambar tular seorang peniaga memasang Jalur Gemilang terbalik di Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Pemilik kedai perkakasan yang menaikkan Jalur Gemilang terbalik dipanggil IPD Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, petang tadi.

Pang Chin Tian, 59, bersama pekerja berusia 20-an hadir memberi keterangan susulan insiden kontroversi itu yang tular di media sosial.

Menurut Harian Metro, dia mengakui kesilapan itu yang mencetuskan rasa kurang senang masyarakat.

Bercakap di luar pekarangan IPD Seberang Perai Utara, Pang menjelaskan dia menurunkan bendera selepas menyedari ia dipasang terbalik.

“Saya buat ini salah, saya mahu minta maaf…ini kesilapan pertama saya.

“Pagi tadi saya mahu ukur (ketinggian batang besi), belum ikat lagi (bendera). Apabila sudah naik (pasang) baru perasan (sedar bendera terbalik), jadi kita (dia dan pekerja) turunkan balik,” katanya.

Katanya, dia akur dan memberi kerjasama kepada polis menjalankan siasatan berhubung insiden.

Terdahulu, Adun Bertam Reezal Merican Naina Merican yang membuat laporan polis terhadap Pang mahu pihak berkuasa menyiasat secara telus supaya menjadi pengajaran dan insiden sama tidak berulang.

“Di saat kita nak menyambut Hari Kemerdekaan, saya rasa amat kesal perkara ini berlaku dalam Parlimen Kepala Batas, apatah lagi dalam Kadun (kawasan Adun) saya sendiri.

“Kalau (pemilik kedai) kata perkara ini dia gunakan alasan sebagai culas, keculasan ini tak boleh diterima, kalau dianggap satu kecuaian pun ia tidak boleh diterima. Oleh itu, saya desak siasatan segera dijalankan oleh pihak polis,” katanya.

Beberapa platform media sosial hari ini tular rakaman berdurasi 21 saat memaparkan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang yang dipasang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik sebelum seorang lagi bertindak merakam aksi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abdul Rahman, berkata pihaknya masih dalam proses siasatan awal dengan mengambil rakaman percakapan pengadu dan suspek terbabit.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Polis menyeru orang ramai tidak mensensasikan kes berkaitan sehingga mengganggu ketenteraman awam pihak yang sedang menjalankan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Safwan Hashim di talian 04 5762222 atau balai polis terdekat untuk bantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.