
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata kementeriannya akan menangani isu itu secara agresif dan pada masa sama menyeru rakyat mengamalkan gaya hidup sihat termasuk aktif bersenam dan menjaga pemakanan.
Beliau berkata, darah tinggi atau hipertensi, kolesterol tinggi, diabetes, dan obesiti merupakan faktor utama penyebab serangan jantung yang boleh membunuh secara senyap jika diabaikan.
“Hasil dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia menghidap hipertensi manakala satu daripada tiga orang mempunyai kolesterol tinggi, satu daripada enam rakyat Malaysia menghidap kencing manis (diabetes), dan satu daripada dua (rakyat) atau hampir 54% mengalami masalah berat badan (obesiti).
“Kita khuatir NCD yang menjadi pembunuh utama iaitu serangan jantung,” katanya menurut Bernama selepas majlis perasmian Karnival Sihat Milik Semua di Dewan 2020, Kangar.
Perasmian itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Selain itu, Dzulkefly berkata pihaknya turut memberikan perhatian terhadap penyakit kronik seperti penyakit paru-paru akibat rokok misalnya Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik (COPD), asma, dan paling serius ialah kanser paru-paru.
Beliau berkata, selepas serangan jantung, kanser merupakan antara NCD yang menjadi punca utama kematian, namun penyakit berkaitan paru-paru seperti penyakit paru-paru kronik akibat rokok juga berpotensi menjadi pembunuh kedua.
Dzulkefly berkata, Malaysia membelanjakan kira-kira RM64.3 bilion setahun untuk rawatan NCD, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).