
Beliau berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat.
“Polis mengesahkan laporan siasatan sudah diteliti dan dinilai oleh AGC.
“Kita juga menegaskan keadilan akan sentiasa ditegakkan dan siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang, fakta dan keterangan diperoleh,” katanya menurut Berita Harian.
Sementara itu, peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu Zara Qairina berkata, permohonan menggali semula kubur pelajar terbabit akan dibuat di IPD Papar hari ini.
“Proses penggalian semula akan dijalankan di Tanah Perkuburan Tanjung Hubi di Mesapol, Sipitang,” katanya menurut akhbar itu.
Semalam, AGC mengarahkan polis menggali semula jenazah Zara Qairina untuk prosedur bedah siasat bagi memastikan polis mendapat maklumat dan bukti tambahan untuk melengkapkan siasatan.
Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri dalam longkang asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu keesokannya.