
Proses penggalian semula kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, selesai pada 7.15 malam tadi.
Jenazah pelajar Tingkatan Satu itu dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan pada 7.38 malam dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1, kira-kira 130km dari Sipitang.
Menurut Bernama, proses gali semula kubur terbabit dimulakan kira-kira 5.30 petang dengan bacaan doa setelah pasukan forensik polis dan pihak bertanggungjawab tiba pada 4.56 petang.
Turut hadir menyaksikan proses berkenaan ialah Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar, Ketua Polis Papar Kamaruddin Ambo Sakka serta peguam mewakili keluarga Zara Qairina, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan semalam, memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat terdapat keperluan siasatan lanjut diambil polis demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai setelah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.