AirBorneo mampu pacu ekonomi, Sarawak diberitahu

AirBorneo mampu pacu ekonomi, Sarawak diberitahu

Ahli ekonomi Unimas berkata 'pemikiran ke depan' boleh menjadikan syarikat penerbangan milik kerajaan negeri pemangkin bagi sektor pelancongan, sambil kekal berkhidmat kepada komuniti pedalaman.

Kuching International Airport
AirBorneo ada potensi menjadi antara syarikat penerbangan utama negara jika kerajaan Sarawak selaku pemilik syarikat mempunyai strategi tepat, kata seorang penganalisis. (Gambar fail)
KUCHING:
AirBorneo bukan sahaja mampu berkhidmat kepada komuniti luar bandar Sarawak, malah diyakini menjadi penyumbang signifikan kepada ekonomi negeri, menurut seorang ahli ekonomi.

Sebagai contoh, Dzul Hadzwan Husaini dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), berkata syarikat penerbangan baharu itu berpotensi memainkan peranan besar merancakkan sektor pelancongannya serta meningkatkan perdagangan bukan sahaja dengan negeri lain di Malaysia, malah di peringkat global.

“Selain itu, terdapat juga potensi kewujudan peluang kerja sekiranya sektor pelancongan berkembang pesat. Ini antara faktor yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Namun, beliau mengingatkan pengendalian syarikat penerbangan tanpa strategi untuk menjadikannya untung tidak akan berdaya maju dari segi ekonomi.

Dzul Hadzwan berkata, sekurang-kurangnya AirBorneo perlu menjana keuntungan mencukupi daripada laluan antarabangsa bagi menampung kos perkhidmatan ke kawasan luar bandar Sarawak.

“Sepatutnya ada lebihan hasil untuk disumbang kepada dana negeri,” katanya. Jika tidak, menurutnya, ia tidak akan menjadi perniagaan berdaya saing untuk jangka panjang.

Berdekad lamanya, perkhidmatan udara luar bandar (RAS) dikendalikan Malaysia Airlines menerusi anak syarikat, MASwings, menjadi satu-satunya penghubung komuniti luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan dunia luar.

MASwings tidak pernah mencapai tahap pulang modal, apatah lagi mencatat keuntungan daripada RAS, sekali gus memaksanya bergantung subsidi kerajaan persekutuan, berdasarkan penerimaan mengekalkan keterhubungan komuniti terpencil lebih penting, berbanding keuntungan.

Dzul Hadzwan berkata, Sarawak boleh mengambil contoh negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, dan Singapura yang menjadikan syarikat penerbangan nasional, mereka bertaraf global, sekali gus menyumbang signifikan kepada ekonomi masing-masing.

“Lihat sahaja Emirates. Mereka mula mempelbagaikan operasi sejak awal dan kini menjadi jenama bertaraf global. Singapore Airlines pula dianggap syarikat penerbangan terbaik dunia. Syarikat penerbangan ini turut menjana pendapatan besar kepada kerajaan masing-masing,” katanya.

Katanya, perkara sama boleh dilakukan di Sarawak memandangkan negeri itu kini berusaha mempelbagaikan ekonominya melangkaui sektor minyak dan gas.

“AirBorneo mampu melakukan perkara sama untuk Sarawak, tetapi ia memerlukan perancangan jangka panjang yang melihat jauh ke hadapan,” katanya.

AirBorneo dimiliki kerajaan Sarawak melalui Hornbill Skyways Sdn Bhd. Ia dijangka memulakan operasi menjelang akhir tahun ini dengan tumpuan awal menambah baik keterhubungan ke kawasan pedalaman dan wilayah yang kurang mendapat perkhidmatan di negeri itu.

Pada September 2024, Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata AirBorneo akan menawarkan tambang bawah kadar pasaran serta mengutamakan keterhubungan dalam negeri dan Semenanjung, memandangkan perjalanan udara sering kali menjadi satu-satunya pilihan.

Dzul Hadzwan berkata, pada peringkat awal syarikat penerbangan itu boleh membantu meletakkan Sarawak sebagai hab pengangkutan dan penerbangan di Borneo, sekali gus menjadikan negeri itu pintu masuk berpotensi ke pasaran luas Asia dan global.

“Kita tidak seharusnya menghadkan diri hanya untuk menghubungkan Kapit, Lawas, atau Miri. Kita boleh berfikir lebih jauh dengan menghubungkan Kuching ke Jakarta, Singapura, Hong Kong, China, Jepun, malah sampai ke Eropah.”

Dzul Hadzwan berkata, keuntungan laluan antarabangsa boleh dilabur semula bagi mengekalkan tambang domestik pada kadar rendah, terutamanya bagi laluan luar bandar, sekali gus membolehkan syarikat penerbangan berkenaan memainkan peranan serentak dari sudut ekonomi dan sosial.

“Keuntungan dijana boleh dilabur semula secara bijak untuk terus menawarkan tambang mampu milik kepada rakyat Sarawak. Namun, syarikat penerbangan mesti dapat untung dahulu.

“Inilah peluang untuk kita menentukan hala tuju sendiri, seperti mana dilakukan Dubai dengan Emirates. Jika dibuat dengan betul, AirBorneo boleh menjadi gergasi serantau dan pemangkin hasil untuk generasi akan datang.”

Sarawak merekodkan hasil RM14 bilion pada 2024, sebahagian besarnya daripada sumber petroleum, namun telah mengenal pasti sektor penerbangan, ekonomi digital, tenaga hijau, dan pembuatan hiliran sebagai pemacu lain pertumbuhan ekonominya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.