Umno Selangor tak mahu nampak bercita-cita besar

Umno Selangor tak mahu nampak bercita-cita besar

Ketua Megat Zulkarnain Omardin berkata walaupun Umno kini hanya memiliki dua kerusi, peluang untuk menambahnya pada masa depan tetap cerah.

Umno Selangor optimis berpeluang menambah kerusi pada pilihan raya akan datang.
PETALING JAYA:
Umno Selangor tidak mahu dilihat terlalu bercita-cita besar menawan negeri itu malah menganggap tindakan menamakan ‘poster boy’ bagi pilihan raya akan datang adalah keterlaluan.

Ketua Megat Zulkarnain Omardin berkata, walaupun Umno kini hanya memiliki dua kerusi, peluang untuk menambahnya pada masa depan tetap cerah.

Megat Zulkarnain Omardin.

“Kita masih jauh nak meletakkan ‘poster boy’ dan sebagainya tapi saya optimis insya-Allah dalam PRU atau PRN di Selangor akan datang, kita akan berpeluang menambah kerusi.

“Tapi…keterlaluan kalau saya nak menyatakan kita sedia mentadbir Selangor dan ini adalah ‘poster boy’ kami,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi, politik hari ini memerlukan kebijaksanaan dan kepercayaan serta tidak mustahil Umno kembali dominan.

Katanya, Umno dengan kerusi yang sedikit mampu memimpin Perak dan Pahang sekali gus tidak mustahil boleh berlaku di Selangor.

Puad berkata demikian sebagai sindiran kemasukan menteri besar Selangor dari 2000-2008, Khir Toyo dalam Bersatu pada 1 Julai lalu.

Sementara itu, Megat turut menuding jari kepada bekas menteri besar tersebut punca Umno hilang kuasa di Selangor hingga hari ini, sama seperti dinyatakan Puad pada 6 Ogos lalu.

Beliau berkata, beberapa tindakan dilakukan Khir seperti memberi penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor, melaksanakan program sifar setinggan dan merobohkan rumah ibadat bukan Islam menyumbang kepada kekalahan Umno.

“Sertai Bersatu itu adalah pilihan dia. Tetapi untuk menghina dan menyalahkan pihak lain, sewaktu dia menjadi menteri besar mengakibatkan kekalahan Umno di Selangor, saya fikir itu adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

PKR menerajui Selangor melalui Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan sejak 2008, selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional bawah Khir.

Pada PRU lalu, Umno hanya menang dua kerusi iaitu DUN Sungai Air Tawar dan Dusun Tua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.