Umur 16 tamat sekolah risiko luas jurang masyarakat, kata ahli akademik

Umur 16 tamat sekolah risiko luas jurang masyarakat, kata ahli akademik

Ahli akademik berkata golongan berkenaan juga belum bersedia untuk bekerja tanpa sebarang kemahiran atau kelayakan rasmi.

Rafizi Ramli mencadangkan had umur berakhir persekolahan ditetapkan pada usia 16 tahun bagi membolehkan golongan itu bekerja lebih awal dan sebagai persediaan hadapi negara menua.
PETALING JAYA:
Cadangan menurunkan had umur tamat persekolahan kepada 16 tahun supaya golongan itu boleh menyertai dunia pekerjaan pada usia muda dibimbangi akan meluaskan lagi jurang ketidaksamarataan dalam masyarakat, kata ahli akademik.

Profesor Adjung Universiti Cyberjaya (UOC), Satinah Syed Saleh berkata, dalam usia semuda itu dan tanpa sebarang kemahiran atau kelayakan rasmi, golongan berkenaan mungkin belum bersedia untuk bekerja.

Satinah Syed Saleh
Satinah Syed Saleh.

“Ramai pelajar masih berhadapan dengan kelemahan asas seperti literasi dan numerasi. Tanpa kelayakan rasmi atau laluan vokasional yang tersusun, mereka mungkin belum bersedia untuk bekerja.

“Mendesak pelajar untuk tamat sekolah lebih awal mungkin meluaskan jurang ketidaksamarataan terutamanya bagi komuniti B40 dan luar bandar,” katanya kepada FMT.

Katanya, pengurangan tahun persekolahan boleh menjejaskan peluang pelajar dari keluarga B40 dan mereka juga berisiko tercicir daripada sistem pendidikan.

“Pasaran kerja kini lebih menekankan kemahiran malah pelajar lepasan sekolah biasanya memerlukan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sijil vokasional.

“Memendekkan tempoh persekolahan tanpa laluan kelayakan alternatif boleh menyebabkan pelajar tidak bersedia untuk bersaing di dunia pekerjaan,” katanya.

Satinah berkata, fokus utama sepatutnya pada usaha memperkukuh rangka pendidikan wajib 12 tahun seiring sokongan latihan kemahiran yang disasarkan dan relevan untuk pelajar.

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli semalam yang mencadangkan kepada kerajaan untuk menetapkan umur berakhir persekolahan pada usia 16 tahun sebagai persediaan hadapi negara menua.

Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Rafizi berkata cadangan itu supaya golongan muda dapat mula menyertai sektor pekerjaan dengan lebih awal pada umur 21 tahun.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda UKM), Anuar Ahmad pula berpandangan had umur masuk ke universiti juga perlu diturunkan jika had umur tamat sekolah ditetapkan pada 16 tahun.

Katanya, satu kajian dan perancangan menyeluruh serta jelas perlu dilakukan kerana ia memberi implikasi besar kepada perkembangan anak.

“Bagi kumpulan pelajar yang tidak masuk ke universiti, kolej atau

Anuar Ahmad.
Anuar Ahmad.

Tingkatan 6 akibat keputusan SPM yang lemah, apa persiapan mereka untuk terus bekerja pada usia 16 tahun dari segi kelayakan dan sebagainya?

“Kita boleh pertimbang had umur 16 tahun ini dengan syarat ‘vakum’ itu mesti diisi. Apa pengisian umur 17 dan 18 bagi golongan tersebut? Adakah kerja-kerja ideal atau program khususnya untuk menguruskan mereka selepas umur 16 tahun?” katanya.

Tambahnya, ia hanya merugikan negara sekiranya golongan tersebut hanya duduk di rumah dua hingga tiga tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.