Thailand, Kemboja setuju pasukan sementara pantau sempadan

Thailand, Kemboja setuju pasukan sementara pantau sempadan

IOT dari negara Asean lain akan ditempatkan di kedua-dua belah sempadan, sementara tunggu misi penuh diketuai Malaysia.

saifuddin nasution thailand cambodia meeting
Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) bersama Tea Seiha, Nattaphon Narkphanit dan para perwakilan pada Mesyuarat GBC Luar Biasa di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Pasukan pemantau sementara yang dianggotai atase pertahanan dari negara-negara Asean akan dikerahkan di kedua-dua belah sempadan Kemboja-Thailand untuk memantau gencatan senjata yang dipersetujui pada 28 Julai, sementara menunggu misi pemerhati penuh dibentuk.

Menurut minit Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa hari ini, setiap pasukan pemerhati interim (IOT) akan diundang secara bebas oleh negara tuan rumah selepas berunding dengan Malaysia.

“IOT akan beroperasi tanpa merentasi sempadan dan akan bekerjasama rapat serta berunding dengan jawatankuasa sempadan serantau dan GBC setiap negara,” menurut minit tersebut.

Aturan sementara ini berfungsi sebagai langkah jangka pendek sementara misi pemerhati penuh yang diketuai Malaysia, seperti yang diumumkan dalam mesyuarat khas di Putrajaya pada 28 Julai, dimuktamadkan.

Kedua-dua pihak mengesahkan semula komitmen masing-masing terhadap gencatan senjata sepenuhnya yang berkuat kuasa mulai tengah malam 28 Julai, meliputi semua kawasan dan jenis senjata di sepanjang sempadan bersama.

Antara persetujuan penting lain termasuk pembekuan sebarang pergerakan atau penambahan trup baharu, pemulangan segera jenazah anggota yang terkorban, dan larangan penyebaran berita palsu atau maklumat yang tidak benar.

Minit tersebut turut menekankan kepentingan bertindak pantas bagi mengelakkan ketegangan memuncak sekiranya ia berlaku semula.

“Sekiranya berlaku konflik bersenjata, sama ada disengajakan atau tidak, kedua-dua pihak mesti segera berunding pada peringkat tempatan melalui mekanisme dua hala sedia ada untuk mengelakkan keadaan meruncing di sepanjang sempadan.

“Konflik yang berpanjangan akan membahayakan keselamatan orang awam dan tentera di kedua-dua belah pihak serta meningkatkan ketegangan, sekali gus menyukarkan usaha untuk mencapai penyelesaian bersama,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pihak bersetuju mengadakan satu lagi mesyuarat GBC dalam tempoh sebulan, atau lebih awal jika perlu, bagi menyemak kemajuan.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kemboja Tea Seiha dan Timbalan Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Nattaphon Nakphanit.

Malaysia, Amerika Syarikat dan China hadir sebagai pemerhati.

Bulan lepas, Kemboja dan Thailand menyaksikan pertempuran sempadan terburuk mereka dalam tempoh lebih sedekad, melibatkan serangan meriam dan udara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang dan menyebabkan lebih 300,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Pertempuran itu berterusan meskipun terdapat gesaan daripada China dan Malaysia, selaku pengerusi Asean, agar ia dihentikan.

Bercakap pada sidang media berasingan, Nattaphon berkata, Thailand komited mengadakan dialog secara jujur, sepertimana yang sepatutnya dilakukan oleh jiran yang baik, dan berharap Kemboja akan memberikan reaksi yang sama.

Sementara itu, Tea menzahirkan harapan agar Thailand segera membebas dan memulangkan 18 tentera Kemboja yang kini berada dalam tahanannya.

Duta AS Edgard D Kagan berkata, Washington akan memantau dengan teliti bagi memastikan kedua-dua negara mematuhi gencatan senjata, mengulangi sokongan AS terhadap peranan Asean dalam proses itu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan itu mencerminkan persefahaman bersama bahawa gencatan senjata ‘bukan sekadar jeda, tetapi satu janji untuk melindungi nyawa dan menjunjung maruah’.

“Janji itu mesti dihormati dengan komitmen yang teguh, pemantauan aktif dan iltizam politik yang ikhlas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.