
Tertuduh, N Paarvathy, 41, membuat pengakuan demikian di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa ada dalam milikannya 205 pasport Malaysia, lapor Berita Harian.
Dia dituduh mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, wanita itu didakwa memiliki MyKad milik tiga lelaki berusia 19, 21, dan 31 tahun tanpa alasan munasabah dan satu MyKad palsu atas nama seorang lelaki berusia 24 tahun.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri, Taman Puchong Hartamas, 12.10 tengah malam, 11 Julai lalu.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut peraturan 25(1)(o) dan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan, termasuk syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.
Namun, peguam Yogamani M Marappan mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan jaminan pada kadar minimum dengan alasan wanita itu tidak bekerja dan bergantung pada pendapatan suami.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dengan sebutan semula kes pada 22 Sept ini.