RUU Pekerja Gig dijangka bentang 14 Ogos

RUU Pekerja Gig dijangka bentang 14 Ogos

RUU itu dikatakan langkah penting dalam memperkenalkan kerangka perlindungan sosial kepada lebih 1.12 juta rakyat yang terlibat.

ANTHONY LOKE - ZAHID HAMIDI
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi jangka RUU Pekerja Gig akan dibentang tidak lama lagi.
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig dijangka dibentang di Parlimen pada 14 Ogos, menurut Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi

Beliau juga menjangkakan bacaan kedua RUU itu pada 26 Ogos, di mana perinciannya akan dibahas wakil-wakil rakyat sebelum undian.

“Undi ini tidak perlu 2/3 majoriti tapi cukup majoriti mudah,” ”katanya pada majlis berkaitan industri gig di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL).

Akta yang diusahakan kerajaan itu menjurus ke arah menjaga industri ekonomi gig, dan langkah penting dalam memperkenalkan kerangka perlindungan sosial kepada lebih 1.12 juta rakyat yang terlibat dalam sektor itu, kata Zahid sebelum ini.

Pada Mei, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata draf RUU itu dibuat selepas sesi libat urus diadakan dengan lebih 3,000 pekerja.

Sementara itu, Zahid pada sidang media berkata kerajaan akan berusaha meningkatkan kadar caruman pekerja gig melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang didakwa masih rendah.

Menurutnya, seramai 188,000 pekrja sektor p-hailing dan 132,000 e-hailing belum mencarum sedangkan jumlah keseluruhan pekerja gig seramai 1.12 juta orang.

Sementara itu, Sim memaklumkan RUU Pekerja Gig bakal menjadikan Malaysia sebagai negara ke-16 di dunia yang melindungi pekerja sektor berkenaan.

“Apabila saya pergi ke ILO (Persidangan Regulating for Decent Work (RDW) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland) Jun lalu, memang banyak negara menanti-nanti versi Malaysia.

“Apabila kita kongsikan versi Malaysia itu, mereka berpendapat ia agak komprehensif dan sesuai serta tidak ekstrem,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.