Muhyiddin gesa PM mohon maaf berkait dakwaan pertahan subsidi warga asing

Muhyiddin gesa PM mohon maaf berkait dakwaan pertahan subsidi warga asing

Pengerusi PN pertimbang rujuk Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika tiada permohonan maaf.

Muhyiddin Yassin sedia menerima permohonan maaf daripada Anwar Ibrahim berkait dakwaan pertahan subsidi warga asing.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf dan menarik balik dakwaan yang Ahli Parlimen Pagoh itu mempertahankan kebajikan warga asing dalam isu rasionalisasi subsidi.

Muhyiddin yang sebelum ini tampil menafikan perkara itu berkata beliau mempertimbangkan merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika tiada permohonan maaf daripadanya.

“Saya cuma minta Tambun (Anwar) mohon maaf dan tarik baliklah keterlanjuran kata-kata beliau yang telah menyebabkan fitnah ke atas diri saya.

“Saya akan terima maaf dia sekarang juga,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Pada sidang Dewan Rakyat, Selasa lalu, Anwar mendakwa beliau menerima maklumat ada Ahli Parlimen yang tampil mempertahankan warga asing dalam isu subsidi kerajaan.

Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) kemudian meminta penjelasan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Membidas Rosol, Anwar berkata: “Yang Berhormat tak baca kenyataan ketua sendiri, iaitu Ahli Parlimen Pagoh. Lain kali baca dulu sebelum datang Parlimen, jangan pakai hentam kromo sahaja.

“Baca kenyataan YB Pagoh yang mempersoalkan mengapa kerajaan bebankan orang asing sedangkan orang asing juga memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Presiden Bersatu itu turut mempersoalkan arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya siasatan dibuat selepas Muhyiddin menafikan pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.