Lebih 3,000 pokok durian haram ditebang

Lebih 3,000 pokok durian haram ditebang

Pihak berkuasa perhutanan Pahang mengambil langkah itu kerana menceroboh Hutan Simpan Gunung Benum di Raub.

durian
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin, berkata pihaknya tidak boleh tunduk dengan pihak mengambil kesempatan meneroka hutan simpan dan tanah kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa Pahang menebang lebih 3,000 pokok durian ditanam haram dalam Hutan Simpan Gunung Benum, Raub, dalam tempoh 18 hari dalam operasi khas bermula 21 Julai lalu.

Tindakan itu melibatkan tanaman berusia antara tiga hingga 40 tahun susulan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang bertitah pencerobohan tanah di negeri disekat segera.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin, berkata operasi penguatkuasaan bersepadu kali ini merangkumi kawasan seluas 250 hektar.

Beliau berkata, selain memusnahkan tanaman durian pelbagai jenis seperti Musang King, D24, IOI, dan durian kampung, turut ditebang pokok petai, rambutan, manggis serta beberapa pokok buah-buahan lain yang berada dalam hutan simpan itu.

Katanya, operasi kali ini mendapat kerjasama polis, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA), dan Rela.

“Aktiviti rondaan mengesan pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan berkenaan dilakukan 24 jam.

“Sejak operasi penguatkuasaan dilakukan, kita tidak dapat bantahan atau ancaman daripada pekebun, malah mereka akur dengan tindakan jabatan yang tegas memusnahkan tanaman mereka yang ditanam atas tanah diceroboh secara haram,” katanya menurut Berita Harian.

Zainuddin berkata, sejak operasi penguatkuasaan bersepadu tanaman durian dilakukan bulan lalu, pelbagai tanaman buah-buahan seluas 50 hektar dalam kawasan hutan simpan berkenaan dimusnahkan.

Beliau berkata, cabaran operasi kali ini apabila pihaknya berdepan masalah memasuki kawasan diceroboh kerana terpaksa melalui tanah milik yang berpagar dan berkunci.

Katanya, mereka tidak memberi kerjasama hingga tindakan memotong kunci pagar terpaksa dilakukan pihak berkuasa.

“Kebanyakan kawasan ceroboh Hutan Simpan Gunung Benum terletak di belakang kawasan tanah milik, berbeza dengan kawasan ceroboh hutan simpan dan tanah kerajaan lain daerah ini.

“Pekebun tanah milik menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pasukan operasi, sebahagian mereka tidak memberi kerjasama untuk melalui kawasan kebun dengan pelbagai alasan.”

Beliau menegaskan, pihaknya tidak boleh tunduk dengan pihak mengambil kesempatan meneroka hutan simpan dan tanah kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.