
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, gandingan Khir dengan dua nama besar di Selangor iaitu bekas menteri besar Azmin Ali dan bekas ketua Umno negeri Noh Omar sudah tentu akan memberi kelebihan kepada PN.

Katanya, gandingan tiga pemimpin itu hanya memperkukuhkan kedudukan PN di kawasan majoriti Melayu tetapi tidak membantu dari segi sokongan daripada pengundi bukan Melayu.
“Kerajaan negeri hari ini masih kukuh di kawasan campuran dan bandar. PH-BN mempunyai kelebihan di kawasan urban seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Serdang.
“Selagi sokongan bukan Melayu dan pengundi muda kekal kepada kerajaan perpaduan, sukar untuk gandingan PN ini menguasai semula seluruh negeri,” katanya kepada FMT.
“Bagaimanapun, PH-BN perlu berhati-hati. Jangan terlalu yakin bahawa panglima-panglima politik lama ini sudah tidak relevan”.
Kata Awang Azman, kekuatan sebenar gandingan tiga figura itu bergantung kepada sejauh mana mereka dapat menyatukan semula jentera akar umbi, menawarkan naratif baharu, dan menangani persepsi negatif rakyat terhadap rekod lampau, terutama Khir yang terpalit kes mahkamah.
Menurutnya, penyertaan Khir dalam Bersatu juga mampu menyatukan kembali perseteruan dua kumpulan yang menyokong beliau dan Noh sebelum ini.
“Ini menunjukkan mereka sudah bersedia melupakan perseteruan lama dalam Umno demi matlamat politik yang lebih besar menewaskan PH-BN di Selangor.
“Mereka sedar survival politik memerlukan kompromi. Dalam konteks ini, keinginan menawan Selangor menjadi keutamaan berbanding dendam lama,” katanya merujuk persaingan Khir dan Noh merebut jawatan menteri besar jika BN menawan semula Selangor pada PRU13.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berpandangan Khir tidak mampu untuk mencipta kejutan politik pada pilihan raya akan datang kerana beliau dilihat tidak relevan dan mempunyai rekod salah guna kuasa.
Katanya, pengundi di Selangor memerlukan seorang pemimpin baharu yang kaya dengan idea bernas dan berkeupayaan untuk mewujudkan aura perubahan yang disenangi orang ramai.
“Untuk menawan Selangor, PN memerlukan satu naratif yang substantif.
“Gabungan itu memerlukan satu formula dan tawaran baharu seperti tadbir urus yang baik dan kemakmuran ekonomi yang boleh dikecapi bersama tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Khir yang menjadi menteri besar dari 2000-2008 mengesahkan diterima menyertai Bersatu pada 1 Julai dengan alasan Umno sudah hilang cita-cita untuk mengetuai kerajaan di Selangor malah Putrajaya.
Bekas Adun Sungai Panjang selama tiga penggal pernah dipenjara setahun kerana salah guna kuasa pada 2015 dan dibebaskan dengan parol selepas menjalani hukuman selama enam bulan.
Beliau cuba membuat kemunculan semula dalam politik pada PRU15 2022 dengan mengumumkan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.
BN memutuskan Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos sebagai calon, namun beliau kalah kepada wakil PN.