Wanita bekal pistol kepada warga Israel gagal gugur kes

Wanita bekal pistol kepada warga Israel gagal gugur kes

Representasi dikemuka Sharifah Faraha Syed Husin ditolak pendakwaan dengan bicara bermula Oktober ini.

Sharifah Faraha Syed Husin
Pada 8 April 2024, tertuduh mengaku tidak bersalah kerana memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 Luger. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak pendakwaan Selangor menolak representasi seorang wanita bagi menggugurkan pertuduhan memiliki sepucuk pistol yang dipercayai dibekalkan kepada warga Israel.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes Sharifah Faraha Syed Husin, 42, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Selangor Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

“Representasi dikemukakan Sharifah Faraha kepada pendakwaan negeri Selangor untuk gugurkan pertuduhan dihadapinya telah ditolak,” katanya menurut Bernama.

Justeru, mahkamah menetapkan 6, 7, 8, 13, dan 17 Okt ini untuk perbicaraan kes dengan Sharifah Faraha diwakili peguam Mohd Radzuan Ibrahim.

Azamuddin berkata, pihaknya akan memanggil 10 saksi untuk memberi keterangan.

Pada 8 April 2024, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 Luger di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, pada 8 malam, 29 Mac 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Jun lalu, suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin, 44, mengaku salah atas pertuduhan dihadapinya pada 5 Jun lalu dan mahkamah sama telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan enam sebatan.

Mengikut pertuduhan, Azim didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah, bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh, dan masa sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman serupa.

Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 26 Feb lalu, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api.

Avitan, 39, didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.