Saksi utama kes Guan Eng disamun, bukan ganggu saksi, kata polis

Saksi utama kes Guan Eng disamun, bukan ganggu saksi, kata polis

Beberapa penyamun memakai penutup muka bersenjata parang bawa lari barangan berharga disimpan dalam peti besi dari kediaman mangsa.

Shahrulnizam Jaafar
Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar, berkata penyamun terbabit melarikan diri melalui kawasan hutan di belakang rumah, di Jalan Bukit Gasing. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kejadian awal pagi di kediaman saksi utama dalam perbicaraan rasuah Lim Guan Eng disiasat sebagai kes samun, menurut polis.

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar, berkata tiada unsur ‘gangguan saksi’ dikenal pasti dalam insiden itu dengan penyamun melarikan diri melalui kawasan hutan di belakang rumah, di Jalan Bukit Gasing, lapor New Straits Times.

Dalam kenyataan berasingan, Shaharuddin mengesahkan beberapa penjenayah bersenjatakan parang membawa lari barangan berharga.

“Beberapa penjenayah bersenjatakan parang memakai penutup muka telah memecah masuk rumah dan melarikan barangan berharga yang disimpan di dalam peti besi,” katanya sambil memberitahu polis mendapat laporan sekitar 7.20 pagi.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan menggunakan senjata.

Awal hari ini, New Straits Times melaporkan seorang saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Lim cedera parah selepas diserang 10 lelaki di rumahnya.

Suspek dilaporkan mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memasuki rumah, menyebabkan saksi itu mengalami kecederaan di muka dan tangan.

Ketua pendakwaan dalam kes Lim, Wan Shahruddin Wan Ladin, berkata pihaknya akan membangkitkan perkara ini apabila perbicaraan bersambung pada 19 Ogos.

Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut daripada seorang ahli perniagaan serta menerima rasuah berjumlah RM3.3 juta.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan pecah amanah melibatkan tanah kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.