PRN Sabah: Bung Moktar dicabar guna autonomi umum BN tanding solo

PRN Sabah: Bung Moktar dicabar guna autonomi umum BN tanding solo

Naib Presiden PBS Arthur Sen berkata kegagalan guna autonomi itu akan membuktikan Bung Moktar Radin tiada kuasa.

Kenyataan Bung Moktar Radin berhubung kesediaan BN bergerak solo hanya disifatkan sebagai gertakan sahaja, menurut Arthur Sen.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) mencabar Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menggunakan kuasa autonominya dengan mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) bergerak solo pada PRN.

Naib Presiden PBS Arthur Sen berkata Ahli Parlimen Kinabatangan itu tidak sepatutnya
hanya menyatakan kesediaan bergerak solo apabila mengulas kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

BN sebelum ini ‘mengunci’ kerjasama dengan PH namun Bung Moktar menegaskan partinya tidak akan bergabung dengan GRS dengan mempersoalkan keikhlasan gabungan diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor itu.

“Isytiharkanlah gerak solo, jangan cakap ‘sedia’ gera solo selepas itu hurai panjang-panjang soal setia kawan yang amat subjektif.

“Itu main gertak atau macam merajuk sahaja. Tunggu Zahid (Hamidi) (pengerusi BN) pujuk kah?,” kata Arthur di Facebook.

Beliau berkata kegagalan menggunakan autonomi dalam menentukan kerjasama atau bergerak solo akan mengesahkan Bung Moktar tiada kuasa, apatah lagi memperjuangkan hak rakyat Sabah.

Semalam, Bung Moktar yang juga Adun Lamag berkata Umno Sabah menyatakan kesediaan bergerak solo pada PRN akan datang selepas GRS mengumumkan kerjasama pilihan raya dengan PH.

Beliau menyifatkan kerjasama GRS-PH itu sebagai ‘pakatan panik’ dan menegaskan Umno Sabah tidak akan bekerjasama dengan gabungan tidak jujur dan tidak ikhlas.

Pada Mei, sekretariat kerajaan perpaduan mengumumkan BN dan PH akan bekerjasama pada PRN17 di Sabah, yang mesti diadakan sebelum akhir tahun ini.

Walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap agar ketiga-tiga gabungan dapat bekerjasama pada pilihan raya tersebut, Bung berkata, BN Sabah hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan GRS susulan keputusan PRN.

Bulan lalu, Hajiji mengumumkan GRS dan PH telah bersetuju untuk membentuk satu pakatan bagi menghadapi pilihan raya. Perkara ini disahkan Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud.

Zahid kemudiannya menegaskan semula bahawa pakatan gabungan itu dengan PH ‘sudah dikunci’, membayangkan kemungkinan BN dan GRS akan bertembung pada PRN Sabah akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.