
Kebimbangan ini turut disokong pelbagai kajian meramalkan kehilangan pekerjaan secara meluas akibat penggunaan AI.
Sebagai contoh, penyelidik di Goldman Sachs, sebuah kumpulan perbankan pelaburan dan perkhidmatan kewangan, baru-baru ini menganggarkan AI berpotensi menggantikan dua pertiga daripada keseluruhan jenis pekerjaan.
Namun, realitinya teknologi telah mengambil alih sebahagian tugas manusia sejak bertahun-tahun, bahkan sejak beberapa dekad lalu.
Sepanjang tempoh itu, automasi menyebabkan kitaran kehilangan pekerjaan berterusan. Bunyi siulan dan perbualan pekerja di kilang kawasan perindustrian telah lama digantikan deruman mesin robotik.
Walaupun ancaman AI menghantui pemikiran ramai, hakikatnya banyak faktor lain turut menyumbang kepada kehilangan pekerjaan.
Seorang pemimpin kesatuan sekerja J Solomon memberitahu proses penstrukturan semula dari semasa ke semasa turut menjadi antara punca pengurangan tenaga kerja.
Faktor ekonomi, perubahan permintaan pengguna dan peralihan strategi perniagaan juga menjadikan sebahagian pekerjaan tidak lagi relevan.
Perubahan Keperluan
AI bukanlah satu-satunya punca utama kehilangan pekerjaan. Dalam sektor seperti minyak dan gas (O&G) dan media, syarikat terpaksa menggabungkan teknologi baharu itu bagi menangani kos yang semakin meningkat.
Dalam sektor O&G, pakar menyatakan penerimaan AI secara meluas mampu menjimatkan perbelanjaan antara 10 hingga 20%.
Di Singapura, Supermec – penyedia perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyelenggaraan bersepadu – menjelaskan kos operasi sektor O&G mampu dikurangkan secara ketara, meningkatkan kecekapan operasi dan tahap keselamatan.
Hasilya, setiap keputusan dapat dibuat tepat. Namun, kesannya menyebabkan beberapa jenis pekerjaan tidak lagi diperlukan.
Syarikat minyak gergasi seperti ExxonMobil dan Chevron sudah lama memanfaatkan penyatuan serta penambahbaikan berasaskan teknologi untuk menguruskan kos di tengah-tengah pulangan pelaburan huluan yang menurun.
Dalam sektor media, beberapa akhbar di United Kingdom dan Itali turut bereksperimen menggantikan wartawan dengan AI.
Tahun lalu, Worcester Journal – salah satu daripada lebih 200 penerbitan oleh Newsquest, penerbit kedua terbesar di UK – mengupah lapan wartawan ‘bantuan AI’ untuk membuat liputan berita tempatan, menurut The Guardian.
Laporan itu menyatakan input wartawan dianggap sebagai kandungan ‘dipercayai’ yang membosankan tetapi penting.
Pengarang beritanya Stephanie Preece berkata langkah itu memberi ruang kepada wartawan sebenar menumpukan tugasan lain seperti menghadiri mesyuarat majlis tempatan atau acara masyarakat.
Di Itali, akhbar Il Foglio pada 18 Mac lalu diterbitkan sepenuhya menggunakan AI.
Laman sesawang Prompt Engineering and AI Institute melaporkan edisi empat halaman dinamakan Il Foglio AI dalam bentuk cetakan serta digital itu dibuat sebagai percubaan.
Sisi positif
Walaupun terdapat kebimbangan, kemunculan AI mempunyai sisi positif dan tidak boleh menggantikan sepenuhnya peranan manusia.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia HR Forum Arulkumar Singaraveloo memberi contoh sektor perbankan yang mengurangkan perkhidmatan kaunter untuk menyokong transaksi elektronik.
“Walaupun AI akan mengambil alih beberapa tugas, perkhidmatan di kaunter masih disediakan untuk pelanggan yang memerlukan interaksi dengan pegawai,” katanya kepada FMT.
Solomon yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) bersetuju dengan Arul.
“Dalam sektor perbankan, sentiasa dilihat ada usaha menggantikan peranan manusia dengan inovasi AI.
“Tugas seperti kemasukan data tidak dimansuhkan sepenuhnya. Sebaliknya, tugas itu telah disumber luar (outsource) kepada vendor asing di negara yang kos buruhnya lebih rendah,” jelasnya.
Dalam banyak keadaan, pekerjaan itu sebenarnya tidak hilang, sebaliknya dialihkan (ke pihak lain) – sering kali atas alasan transformasi digital atau kecekapan kos.
Dari sudut positif, kemunculan AI turut mencipta peluang pekerjaan baharu walaupun memansuhkan sebahagian pekerjaan lama.
Menurut laporan builtin.com pada 15 Mei, Goldman Sachs menyatakan teknologi baharu berpotensi mewujudkan pekerjaan baharu, sekali gus memudahkan peralihan bagi pekerja yang terjejas.
Persoalannya, apakah syarikat bersedia membantu pekerja meningkatkan kemahiran atau melatih semula mereka untuk mengisi peranan baharu?
Peluang kedua
Di Malaysia, peranan ini telah dimainkan HRD Corp.
Menurut Ketua Pegawai Strateginya, Rony Ambrose Gobilee, jumlah individu yang mahu mendapatkan kemahiran baharu meningkat ketara sejak beberapa tahun lalu.
Pada 2022, kira-kira 880,000 individu mengikuti pelbagai jenis latihan diselia HRD Corp. Jumlah ini telah melonjak sebanyak 69% kepada 1.49 juta pada 2024.
Angka ini termasuk individu melatih diri dan meningkatkan kemahiran untuk pekerjaan baharu, selain mereka yang mencari pekerjaan pertama.
Antara inisiatif lain HRD Corp juga adalah Minggu Latihan Kebangsaan (NTW), sebuah platform bersepadu bagi program pembangunan kemahiran yang telah berjaya menarik perhatian ramai.
Lebih 3.53 juta individu mendaftar untuk edisi 2025 – meningkat daripada 375,817 pada tahun sebelumnya.
“Ini mencerminkan semangat dan sambutan terhadap peluang latihan yang mudah diakses serta berimpak tinggi,” kata Gobilee.
“Trend ini menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap keperluan kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi dinamik selain minat pekerja Malaysia meningkatkan kemahiran,” tambahnya.
Gobilee turut menekankan usaha HRD Corp itu telah memainkan peranan penting memperkasakan individu membuat peralihan ke arah peluang baharu.
Bagi Solomon, segala peluang meningkatkan kemahiran dan latihan semula penting untuk menyediakan laluan supaya mereka yang kehilangan pekerjaan dapat bangkit semula.