Malaysia di tangga ke-95 dalam indeks kebebasan media

Malaysia di tangga ke-95 dalam indeks kebebasan media

Data RSF menunjukkan prestasi Malaysia bercampur-campur, dengan aspek keselamatan wartawan bertambah baik.

journalist
Malaysia berada di tangga ke-95 dengan 52.73 mata dalam Indeks Kebebasan Media Dunia tahun ini. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Malaysia kini berada di tangga ke-95 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 berbanding ke-88 pada tahun lalu.

Dari segi markah, Malaysia memperoleh 52.73 mata tahun ini, berbanding 56.09 mata pada 2025.

Sebagai perbandingan, Malaysia pernah berada di tangga ke-107 pada 2024 dan ke-73 pada 2023.

Di kalangan negara Asean, Malaysia masih berada di tempat kedua dengan Thailand mendahului rantau ini di tangga ke-92.

Selepas Malaysia ialah Brunei di tempat ke-96, diikuti Filipina di tangga ke-114, Singapura ke-123, Indonesia ke-129, Kemboja ke-151, Laos ke-154, Myanmar ke-166 dan Vietnam ke-174.

Menurut Reporters Without Borders (RSF), Malaysia merekodkan 43.00 bagi penunjuk politik yang menilai sejauh mana media bebas daripada tekanan politik.

Penunjuk ekonomi, yang mengukur kebebasan kewangan organisasi media pula direkodkan pada kadar 40.28 mata.

Penunjuk perundangan pula, yang melihat kesan undang-undang dan peraturan terhadap wartawan, mencatatkan 43.71 mata.

Bagi penunjuk sosiobudaya, yang mengambil kira tekanan masyarakat dan amalan menapis diri sendiri, Malaysia mencatatkan 51.25 mata.

Ada peningkatan dalam penunjuk keselamatan yang menyaksikan markah naik daripada 78.16 kepada 85.42, menunjukkan keadaan keselamatan wartawan dinilai lebih baik, termasuk dari segi risiko fizikal, psikologi dan profesional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.