Khir Toyo ‘jauh ketinggalan’ dari realiti, jawab Puad

Khir Toyo ‘jauh ketinggalan’ dari realiti, jawab Puad

'Dominan' hari ini harus bererti dominan dalam agenda rakyat, menteri berprestasi tinggi, berprinsip dan konsisten.

Ahli MKT Umno Puad Zarkashi kata pemikiran politik bekas menteri besar Khir Toyo ‘ketinggalan’.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menyifatkan pemikiran politik bekas menteri besar Khir Toyo sebagai ‘ketinggalan’ susulan dakwaan beliau mengenai Umno dan sebab dia menyertai Bersatu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi kata perkongsian kuasa di peringkat persekutuan dan mentadbir Perak, Melaka, Johor, dan Pahang merupakan permulaan yang baik untuk Umno selepas PRU 2018.

“Tiba-tiba dia bercakap soal kembali dominan terutamanya di Selangor. Ternyata pemikiran politik Khir baik dari segi realiti dan taktikal jauh ketinggalan,” katanya di Facebook.

Seiring realiti ini, kata Puad, ‘dominan’ harus bererti dominan dalam agenda rakyat, menteri berprestasi tinggi, berprinsip dan konsisten.

“Ia tidak lagi bergantung pada nombor semata-mata,” katanya, dan menambah politik hari ini memerlukan kebijaksanaan dan kepercayaan.

“Masakan Umno memimpin Perak dan Pahang dengan kerusi yang kurang. Ia tidak mustahil berlaku di Selangor,” katanya.

Terdahulu, Khir ketika menjelaskan sebab beliau menyertai Bersatu mendakwa Umno sudah hilang cita-cita untuk mengetuai kerajaan di Selangor malah Putrajaya.

Beliau menegaskan sesebuah parti mesti ada cita-cita untuk menjadi kerajaan kerana mesti ada kuasa untuk ‘tolong orang Melayu’.

Khir, yang menjadi menteri besar dari 2000-2008, mengesahkan beliau diterima menyertai Bersatu pada 1 Julai.

PKR menerajui kerajaan Selangor melalui Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan sejak 2008, selepas tumbangnya kerajaan BN di bawah Khir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.