
Jabatan itu berkata, penyebaran maklumat yang belum ditentukan kesahihannya dan gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan siasatan pihak berkuasa di media sosial boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Jabatan ini menyeru orang ramai agar menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya dalam kenyataan.
“Penularan kandungan itu berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.”
Isnin lepas, Jabatan Peguam Negara memaklumkan telah menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di ibu pejabatnya di Putrajaya.
Bagaimanapun Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar hari ini berkata, laporan tersebut diserahkan semula kepada polis untuk siasatan dilengkapkan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Sehari sebelum itu, dia ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada awal pagi.