
Nur Syaza Syamimi, 28, berkata dia telah menunggu hasil siasatan selama lapan bulan, sejak kejadian 17 Jan lalu.
Dia turut mempersoalkan kegagalan pusat jagaan menyerahkan rakaman CCTV dengan alasan kamera rosak akibat ‘ribut petir’.
“Peliknya, rakaman sebelum hari kejadian masih ada. Hanya pada hari kejadian tiada rakaman. Kalau rosak akibat ribut petir, kenapa hanya satu hari hilang?” katanya kepada FMT.
Terdahulu, hantaran Facebook Syaza mengenai kekecewaannya terhadap keputusan polis menarik perhatian ramai sejak 5 Ogos, selepas dia berkongsi kronologi kejadian serta gambar kesan lebam panjang di belakang anaknya.
Syaza berkata, kecederaan itu disedari selepas memandikan anaknya, sebelum mendapatkan rawatan di dua fasiliti kesihatan termasuk Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Pihak hospital mengesahkan kecederaan tersebut bukan akibat alahan atau penyakit kulit, sebaliknya kesan dipukul atau jatuh atas objek panjang.
“Saya buat laporan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan serahkan laporan perubatan penuh. Tapi akhirnya dimaklumkan kes ditutup kerana tiada bukti kukuh dan tiada saksi,” katanya.
Syaza dan suaminya, Mohamad Syazwin, 29, menyuarakan rasa tidak berpuas hati dengan cara kes dikendalikan, termasuk perlu ‘mendesak’ pihak polis berkali-kali untuk mendapatkan perkembangan.
“Saya kena WhatsApp pegawai penyiasat hampir setiap hari untuk dapatkan surat keputusan kes anak saya,” katanya, sambil menyifatkan maklumat bahawa kes diklasifikasi sebagai NFA hanya diketahui selepas dia sendiri bertanya.
Sementara itu, Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan dalam kenyataan mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 susulan laporan oleh seorang wanita tempatan berusia 27 tahun pada 19 Jan lalu.
Katanya, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya, namun tiada tindakan lanjut diambil kerana tiada bukti mencukupi.
Lebih mengejutkan, kata Syaza, pusat jagaan itu mendakwa kecederaan anaknya mungkin disebabkan oleh kanak-kanak autistik dan hiperaktif.
Namun, JKM kemudian memaklumkan pusat jagaan itu menafikan menerima kanak-kanak berkeperluan khas.
“Saya ada bukti perbualan WhatsApp yang menyebut perkara itu.”
Dia juga ada menyebut peguam pihak taska menyalahkannya kerana tidak membawa anak ke hospital pada hari kejadian.
“Peguam itu cakap, mungkin lebam itu saya atau suami yang buat, sebab kami bawa ke hospital hari kedua. Saya sangat terkilan dituduh begitu,” katanya.
Dia kini sedang mendapatkan nasihat guaman dan bercadang meneruskan tuntutan melalui tindakan sivil.
“Saya tak mahu anak saya dan anak-anak lain terancam lagi. Kalau undang-undang jenayah gagal bantu, saya akan cari keadilan melalui saluran lain,” katanya.