
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 26 tahun ditahan dalam serbuan diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada 1.30 tengah hari, Ahad lalu.
“Tangkapan termasuk suspek utama berusia 26 tahun itu dibuat di tepi jalan berdekatan IPD Kuala Muda…sebanyak 64.6kg bunga ganja yang dimasukkan dalam lima bagasi dan disimpan di dalam sebuah kereta jenis Honda telah dirampas.
“Susulan itu, serbuan kemudiannya dibuat pada 8.30 malam di sebuah rumah di kawasan perumahan berdekatan dan membawa kepada penemuan kira-kira 1.8kg bunga ganja,” katanya menurut Bernama.
Adzli berkata, kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak bulan lalu dengan mengupah golongan muda untuk kegiatan pengedaran.
“Modus operandi mereka hampir sama dengan kes terdahulu iaitu sindiket ini menggunakan orang tempatan yang pergi ke negara jiran untuk mengambil bekalan, kemudian membawa balik ke sini.
“Bezanya kali ini, mereka menggunakan kenderaan dan bukan motosikal untuk seludup masuk dadah, kenderaan yang digunakan diserahkan kepada sindiket di sebelah sana, dalam masa dua hingga tiga jam, mereka akan muatkan dadah ke dalam panel pintu atau bonet kereta sebelum kenderaan itu dipulangkan semula,” katanya.
Beliau berkata, dua wanita tempatan iaitu seorang berusia 24 tahun dan seorang lagi isteri kepada suspek utama berusia 25 tahun, turut ditahan bagi membantu siasatan.
Adzli berkata, sindiket itu memasuki negara melalui Bukit Kayu Hitam tetapi keluar melalui Padang Besar, Perlis.
“Dua daripada suspek yang ditahan disahkan positif dadah jenis heroin tetrahydrocannabinol (THC).
“Semua suspek direman seminggu bermula tarikh tangkapan hingga 11 Ogos ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.