Beri keutamaan, tindakan segera tangani dadah sintetik, kata NGO

Beri keutamaan, tindakan segera tangani dadah sintetik, kata NGO

Tindakan segera perlu diambil memandangkan ancaman dadah sintetik kini semakin membimbangkan, terutama dalam kalangan belia.

drugg bluured
Peduli Masyarakat sambut baik cadangan pindaan undang-undang bagi menangani isu penjualan dadah sintetik. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memberi keutamaan dan mengambil tindakan segera membendung penularan dadah sintetik, khususnya yang dijual secara dalam talian, kata seorang pemimpin NGO.

Penolong Setiausaha Pertubuhan Peduli Masyarakat (Peduli Masyarakat) Aniq Danish Isyraf Abu Hassan berkata perkara itu perlu memandangkan ancaman dadah sintetik kini semakin membimbangkan, terutama di kalangan belia.

Aniq Danish Isyraf Abu
Aniq Danish Isyraf Abu Hassan.

Menurutnya, beberapa negara di Eropah, Amerika Syarikat dan China telah memperkenalkan undang-undang dadah jenis Fentanyl dan Netazene atau lebih dikenali dengan dadah zombi.

“Biarpun penularan dadah zombi ini tidak serius tetapi usaha untuk membanterasnya harus dilaksanakan dari sekarang.

“Dadah jenis ini memberikan kesan kepada negara dan generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan negara,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya sedang meneliti keperluan meminda undang-undang sedia ada atau menggubal akta baharu bagi menangani isu penjualan dadah secara dalam talian yang kian membimbangkan.

Saifuddin berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Isu Dadah, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Aniq Danish menyifatkan langkah itu sebagai tepat pada masanya dan penting dalam menangani cabaran baharu berkaitan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Saya menghargai usaha menteri yang tampil dengan inisiatif undang-undang lebih kukuh bagi membendung penjualan dadah sintetik.

“Ini bukan sahaja langkah pencegahan, tetapi juga perlindungan kepada generasi akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.