
Brand Finance berkata, Petronas terus dilihat sebagai jenama boleh dipercayai dan menawarkan nilai yang baik bagi wang, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor tenaga.
Katanya, Petronas juga berada dalam kedudukan ketiga jenama O&G paling kukuh pada peringkat global dengan skor Indeks Kekuatan Jenama (BSI) 83.7/100 dan penarafan kekuatan jenama AAA.
“Mengikut jejak Petronas di rantau Asean sebagai antara jenama O&G paling bernilai ialah PTT Public Company Ltd (PTT), Thailand dan Pertamina, Indonesia,” kata perunding penilaian jenama itu dalam kenyataan.
Bagi sektor utiliti, Brand Finance melaporkan TNB dan Perusahaan Listrik Negara (PLN) Indonesia masing-masing berada pada kedudukan kedua dan ketiga jenama utiliti paling kukuh.
Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik Alex Haigh berkata, prestasi kukuh Petronas, TNB, PTT dan PLN mencerminkan keupayaan jenama tenaga Asean yang bukan sahaja bersaing pada peringkat global tetapi juga menerajui penyepaduan kemampanan ke dalam strategi jenama mereka.
“Ia satu (perkara) yang amat menggalakkan untuk melihat pelaburan dalam inovasi hijau dan kepercayaan pihak berkepentingan kini diterjemahkan kepada nilai serta kekuatan jenama yang ketara.
“Semua jenama ini telah membuktikan bahawa komitmen yang jelas terhadap peralihan tenaga merupakan kelebihan strategik dan reputasi,” katanya.