
Menyifatkannya sebagai fitnah, Ahli Parlimen Pagoh itu menggesa Anwar Ibrahim untuk mengemukakan bukti untuk dakwaan itu.
“Saya tak pernah cakap begitu. Sejak dari dulu, saya tahu pun asas dan dasar kita berkenaan subsidi adalah untuk rakyat Malaysia dan bukannya warga asing,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook.
“Nak tanya (Anwar) baca kat mana, pukul berapa, menerusi video atau mana-mana sidang media yang pasti tiada. Sumber mana dapatkan dan sama ada ia sahih atau palsu. Kalau ia palsu, maknanya itu pembohongan.
Dakwaan sedemikian, menurutnya, menunjukkan Anwar tidak membuat semakan dengan betul sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di Parlimen.
Muhyiddin mengulas dakwaan perdana menteri bahawa beliau mempertikai kerajaan membebankan orang asing yang turut menyumbang kepada negara susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
Terdahulu, ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, Anwar mendakwa beliau menerima maklumat bahawa terdapat Ahli Parlimen yang tampil mempertahankan warga asing dalam isu subsidi kerajaan.
Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) kemudian meminta penjelasan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Membidas Rosol, Anwar berkata: “Yang Berhormat tak baca kenyataan ketua sendiri, iaitu Ahli Parlimen Pagoh. Lain kali baca dulu sebelum datang Parlimen, jangan pakai hentam kromo sahaja.
“Baca kenyataan YB Pagoh yang mempersoalkan mengapa kerajaan bebankan orang asing sedangkan orang asing juga memberi sumbangan kepada negara,” katanya.