Ismanira tiada niat jahat ke atas Zayn, mahkamah diberitahu

Ismanira tiada niat jahat ke atas Zayn, mahkamah diberitahu

Pakar psikologi kanak-kanak berkata mesej WhatsApp tertuduh kepada suami tidak menunjukkan sebarang niat untuk membahayakan anak mereka.

Ismanira Abdul Manaf
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya akan memutuskan pada 31 Okt ini sama ada Ismanira Abdul Manaf bersalah kerana mengabaikan Zayn Rayyan Abdul Matin dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kepadanya.
PETALING JAYA:
Mesej teks dihantar Ismanira Abdul Manaf kepada suami sebelum dan pada hari Zayn Rayyan Abdul Matin dilaporkan hilang tidak menunjukkan sebarang niat untuk membahayakan anak mereka atau diri sendiri, kata seorang pakar psikologi kanak-kanak di Mahkamah Sesyen.

Dr Noor Aishah Rosli, 49, berkata penilaian melibatkan perbualan WhatsApp pasangan itu menunjukkan, Ismanira sekadar meluahkan emosi kepada Zaim Ikhwan Zahari.

Antara mesej didakwa dihantar Ismanira termasuklah ‘stress nak mati’, ‘rasa macam nak bunuh diri’, ‘lantak la nak hidup ke mati’, dan ‘budak ni elok je, takde la aku pukul dia’.

“Ini memaparkan isteri yang meluahkan emosi kepada suaminya. Ayat-ayat ini adalah normal dialami seorang ibu yang menjaga dua orang anak-anak autisme.

“Daripada pandangan psikologi tidak boleh (kita) mengangkat dua ayat ini sebagai satu niat untuk melakukan jenayah dan sebagainya,” kata saksi pembelaan kelima dan terakhir itu.

Noor Aishah berkata, adalah perkara biasa bagi seseorang menggunakan bahasa kasar ketika meluahkan perasaan kepada pasangan, dan tidak bermaksud mereka mempunyai niat mencederakan diri atau orang lain.

Walaupun Ismanira mungkin berada dalam keadaan keletihan emosi ketika menzahirkan keinginan menamatkan hidupnya, Noor Aishah berkata, ia lebih kepada luahan emosi semata untuk mendapatkan perhatian Zaim.

Ditanya peguam Ismanira, Haresh Mahadevan, sama ada tindakan Zayn yang berjalan beberapa langkah di belakang ibunya sebelum dia dilaporkan hilang boleh dianggap pengabaian, Noor Aishah tidak bersetuju.

“Pengabaian mesti dinilai sejak kanak-kanak itu lahir sehingga hari kejadian. Segala-galanya sebelum kejadian kelihatan normal,” katanya.

“Pada hari kejadian sahaja dia kebetulan berjalan di belakang ibunya, dan beberapa saat kemudian dia dilaporkan hilang. Itu sahaja tidak boleh ditakrifkan sebagai pengabaian,” katanya.

Beliau berkata, tiada mana-mana badan profesional di dunia yang akan menganggap tindakan seorang ibu berjalan di hadapan anaknya sebagai suatu pengabaian.

Ismanira dan Zaim, masing-masing berusia 30 tahun, didakwa tahun lalu atas pertuduhan mengabaikan Zayn dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kepadanya.

Namun, Zaim telah dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Kesalahan yang didakwa itu berlaku di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Dis 2023 – ketika Zayn dilaporkan hilang – dan 9.55 malam keesokan harinya, selepas mayat kanak-kanak itu ditemui di sebuah anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, dan Nur Sabrina Zubairi mengetuai pendakwaan.

Hakim Syahliza Warnoh menetapkan 31 Okt untuk keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.